Expired : 18.06.18

Tun Zaki dilantik Ketua Hakim Mahkamah Tengah Kewangan Antarabangsa Dubai


KUALA LUMPUR, 28 Safar 1440H, Selasa – Bekas Ketua Hakim Malaysia, Tun Zaki Mohamed Azmi dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tengah Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC).


Menurut kenyataan pejabat media Kerajaan Dubai, perlantikan beliau oleh Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, akan berkuatkuasa 14 November.


Zaki, 73, menyertai Mahkamah DIFC pada Disember 2013, kira-kira dua tahun selepas beliau bersara sebagai Ketua Hakim Negara ini.


Mahkamah DIFC mengendalikan masalah sivil dan komersial di Dubai, satu daripada pusat kewangan terkemuka di dunia.


Ini termasuk masalah berhubung dari pemindahan kewangan antarabangsa yang sofistikated hinggalah kepada kutipan hutang dan pekerjaan.


Zaki, yang berada di Dubai, memberitahu Bernama bahawa perlantikan itu datang dengan ‘penuh kejutan’.


“Alhamdulillah, saya dua kali menjadi Ketua Hakim,” katanya menerusi WhatsApp.


Karier Zaki turut menyaksikan beliau mencapai beberapa lagi pencapaian yang mengagumkan. Pada September 2007, dari seorang pengamal peguam beliau dilantik terus sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, perlantikan terus yang pertama seumpama dalam sejarah kehakiman Malaysia.


Dua bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sebelum menjadi Ketua Hakim pada Oktober 2008 sehingga beliau bersara pada September 2011.


Di samping itu, Zaki dilantik Ketua Hakim Malaysia, dan ia juga menjadi yang pertama dalam sejarah dunia apabila seorang ayah dan anak pernah mengetuai sebuah badan kehakiman negara.


Bapanya, Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed, adalah Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan dari 1968 hingga 1974. – Bernama



The post Tun Zaki dilantik Ketua Hakim Mahkamah Tengah Kewangan Antarabangsa Dubai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop