Expired : 18.06.18

TVET diperuntuk RM5.9 bilion

KUALA LUMPUR, 12 Safar 1441H, Jumaat – Kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi mengarus perdana Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam negara.


Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 berkata, menerusi peruntukan itu, sinergi antara sektor awam dan swasta dapat diperkukuhkan menerusi peningkatan pembiayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC).


“Oleh itu, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan SSDC,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) juga dibenarkan menggunakan lebihan hasil yang dijana daripada kursus TVET yang disediakan kepada industri untuk perbelanjaan seperti menaik taraf peralatan dan melantik tenaga pengajar daripada industri.


“Bagi menggalakkan kerjasama industri yang lebih oleh ILKA, geran padanan berjumlah RM20 juta disediakan untuk menyokong kursus TVET yang direka khas untuk dilaksanakan dengan kerjasama industri,” katanya.


Lim berkata, kerajaan juga akan memperluaskan laluan kerjaya graduan TVET untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan.


“Justeru, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah untuk pelatih yang telah menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional tahun hadapan,” katanya.


Bagi tujuan menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan bersesuaian, katanya kerajaan juga akan menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih 3,000 belia daripada keluarga berpendapatan rendah dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).


Untuk rekod, peruntukan bagi program TVET dalam Belanjawan 2019 adalah sebanyak RM5.7 bilion. -Bernama


The post TVET diperuntuk RM5.9 bilion appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop