Expired : 18.06.18

Ucapan Tun M tak bermaksud iktiraf Syiah di Malaysia: Isma

BANGI, 27 Syawal 1439H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), kesal apabila ada pihak yang memutarbelitkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2015 berkaitan Syiah, yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.


Sebagai sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Isma berpendapat tulisan yang disiarkan dalam sebuah blog yang mendakwa Dr Mahathir mengajak Ahli Sunnah Wal Jamaah menerima Syiah, adalah fitnah dan sengaja diputarbelitkan, kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.


“Kami terpanggil untuk mengulas tuduhan itu kerana ucapan Dr Mahathir dibuat pada majlis anjuran Isma iaitu pada Malam Pejuang 2015.


“Malah, penulis blog berkenaan turut meletakkan klip video Dr Mahathir ketika berucap pada majlis berkenaan dan mengaitkannya dengan Isma,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini


Beliau berkata, Isma juga sudah menyemak semula ucapan Dr Mahathir pada majlis berkenaan dan beliau tidak mengajak Ahli Sunnah di Malaysia supaya menerima Syiah, seperti ditularkan.


“Dr Mahathir memberi ucapan berkaitan umat Islam pada 2015 pada majlis anjuran Isma. Beliau juga bercakap dalam premis yang lain.


“Ucapan dan klip video itu dikitar semula sekarang ini dengan membuat persepsi bahawa Perdana Menteri mengajak Ahli Sunnah menerima Syiah, sedangkan pada 2015, Dr Mahathir bukan Perdana Menteri.


“Pihak tertentu tidak sepatutnya menjadikan isu Syiah bagi mencetuskan konflik antara Dr Mahathir dan Isma,” katanya.


Sehubungan itu, Ustaz Abdullah menggesa umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan tulisan sedemikian yang digunakan untuk mengiktiraf Syiah di Malaysia.


“Isma adalah pertubuhan yang bersikap terbuka dalam menerima pandangan secara aman, namun dengan tegas menolak kehadiran Syiah di negara ini,” katanya.


Pada masa sama beliau menegaskan bahawa Dr Mahathir masih menjadi Pengerusi Kl Summit sejak 2014, persidangan dwitahunan anjuran Isma dengan kerjasama Malaysia-Turkey Friendship Foundation (MTF).


KL Summit adalah kesinambungan kepada Persidangan antarabangsa yang menampilkan puluhan pemikir Islam dari lebih 14 negara bagi membincangkan dan menganalisis realiti semasa dan memahami apa sebenarnya yang berlaku di negara Arab dan negara-negara Islam.


Berikut adalah klip video ucapan penuh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Malam Pejuang anjuran Isma pada 14 September 2015.



The post Ucapan Tun M tak bermaksud iktiraf Syiah di Malaysia: Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop