Expired : 18.06.18

Ulasan Samsung Galaxy S10e – Peranti Android Kompak Yang Gempak


Peranti di pasaran sekarang rata-ratanya mempunyai saiz skrin yang melangkaui 6-inci. Pengeluar hanya mengikut trend semasa menghasilkan peranti berskrin besar kerana pengguna yang semakin banyak menggunakannya untuk menonton kandungan video. Tetapi ia menimbulkan masalah baharu di mana peranti semakin sukar untuk digunakan dengan hanya sebelah tangan. Falsafah Steve Jobs yang mengatakan kesemua bahagian skrin harus boleh diakses dengan satu jari telah lama dibakul sampahkan sendiri oleh Apple.


Tetapi masih terdapat ramai pengguna yang memerlukan peranti mercu Android dengan skrin yang kecil. Sebelum ini segmen ini dikuasai oleh Sony tetapi mereka sendiri telah berhenti mengeluarkannya dan ia digantikan dengan peranti berskrin 21:9. Dengan Galaxy S10e, Samsung cuba memenuhi vakum yang ditinggalkan oleh Sony. Adakah Galaxy S10e peranti yang akan memenuhi peminat peranti mercu padat Android? Ini ialah ulasan kami untuk peranti cilik ini.


Spesifikasi






































































Samsung Galaxy S10e
Skrin 5.8″ FHD+

Dynamic AMOLED HDR10+
Pemproses Exynos 9820 (Malaysia)
Cip 2.7 X 2 GHz Custom

2.3 X 2 GHz Cortex A75

1.9 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP12
RAM 6 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman 128 GB

(mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama 12+16 Megapixel.

(f/1.5+f/2.4)+f/2.2, OIS, HDR
Kamera Depan 10 Megapixel f/1.9
Bateri 3100 mAh

(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Imbasan cap jari pada sisi peranti
Harga Jualan RM 2699

Adalah sedikit aneh untuk mengatakan peranti dengan skrin 5.8 sebagai peranti “padat dan cilik”. Tetapi pada tahun 2019 ini ialah realitinya kerana peranti mercu yang lain biasanya dilengkapi skrin sebesar 6.4″. Dengan penggunaan skrin Infinity-O yang hampir tiada bezel. skrin yang besar masih boleh digunakan pada peranti dengan saiz kerangka yang kecil.


Teknologi skrin Dynamic AMOLED digunakan tetapi hanya menyokong resolusi maksimum FHD+. Kali terakhir skrin FHD digunakan ialah pada Galaxy S5 setengah dekad yang lalu. Skrin beresolusi tinggi bukan tumpuan Samsung pada peranti ini. Sungguhpun hanya sekadar FHD+, Galaxy S10e masih mempunyai kepadatan pixel yang lebih tinggi 438ppi berbanding iPhone XR dengan hanya 326ppi.


Ia walau bagaimanapun masih menyokong paparan HDR10+ dan keterangan maksimum 1200 nits. Dengan keterangan yang tinggi ini, paparan kandungan HDR akan kelihatan lebih menyerlah. Berbeza dengan S10 dan S10+, S10e mempunyai skrin dengan permukaan rata. yang mengambilkan rekaan klasik yang kali terakhir ditemui pada Galaxy S7. Oleh sebab itu sisi skrin S10e kelihatan lebih tebal. Pada waktu yang sama bahagian dagu peranti sedikit lebih tebal.


Sungguhpun berdagu dan bezel sisi yang kelihatan lebih tebal, peratusan permukaan skrin kepada bahagian hadapan adalah 91.6%. Sedikit lebih rendah berbanding 93.1% pada S10 dan S10+. Saiz skrin S10e setanding dengan Galaxy S9 namun begitu peranti adalah 5mm lebih pendek, 1.2mm lebih lebar dan 0.6mm lebih nipis. Hasilnya ialah peranti yang terasa lebih padat dan selesa di dalam tangan.


Seperkara lagi perbezaan yang ada pada S10e ialah tiadanya pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Sebaliknya sebuah pengimbas cap jari yang besar terletak pada sisi kanan terbina pada butang kuasa yang bersaiz agak besar.



Pemproses terkini Exynos 9820 akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Pemproses Exynos 9820 ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 8nm. Buat pertama kali juga konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras custom dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A75 dengan kelajuan 2.3GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 1.9 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP12.


Ini dipadankan dengan memori 6 GB RAM dan storan 128GB sahaja untuk pasaran di Malaysia setanding yang ditawarkan pada Galaxy Note 9 hanya beberapa bulan yang lalu. Kita kini hidup di zaman di mana memori sebesar 4GB tidak lagi boleh diterima pada sebuah peranti mercu dan penggunaan RAM yang besar ini amat kami alu-alukan. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 512GB. Malang sekali slot kad mikro SD ini berkongsi dengan slot kad nano SIM sekunder.


Hanya sistem dwi kamera dengan sensor 12+16 Megapixel digunakan pada peranti ini. Sensor 12-Megapixel hadir dengan bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4 manakala sensor kedua 16-Megapixel f/2.2 dilengkapi lensa ultra sudut lebar. Ini bermakna tiada sokongan zum optikal pada S10e. Kamera hadapan pula sebesar 10-Megapixel f/1.9 dengan sokongan auto-fokus dan juga swafoto pada resolusi 4K.


Sebuah bateri sebesar 3100 mAh dan ini adalah penambahbaikan berbanding 3000 mAh pada Galaxy S9. Kami sebenarnya berharap bateri yang lebih besar digunakan namun begitu faktor kekangan saiz berlaku di sini. Penggunaan sistem pengecasan Adaptive Fast Charging yang hanya mengecas pada kadar 18W juga mengecewakan. Seperti yang kami sentuh pada ulasan Samsung Galaxy S10+, format pengecasan ini sudah berusia tiga tahun. Terdapat ura-ura kemaskini perisian akan diberikan bagi membolehkan Galaxy S10, S10+ dan S10e menyokong pengecasan 25W yang setakat ini hanya ditemui pada Galaxy S10 5G


Ini merupakan kekurangan yang ketara kerana Huawei kini menyertakan pengecas 22.5W pada peranti kelas pertengahan mereka. Pada peranti mercu pula pengecas 40W pula diberikan. Mengapa format yang lebih pantas tidak digunakan masih lagi misteri. Kami mempunyai teori ia adalah kerana Android menyarankan pengeluar menyokong format pengecasan USB-PD yang dihadkan ke 18W sahaja sebagai standard.


Terdapat sokongan pengecasan secara nirwayar Wireless Charging 2.0 yang lebih pantas dengan kuasa maksimum 15W. Peranti ini juga mempunyai sokongan sistem pengecasan nirwayar peranti lain PowerShare. Ia boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar lain atau fon telinga nirwayar Galaxy Buds. Tidak seperti Huawei yang hanya memberikan fungsi serupa pada Mate 20 Pro sahaja, sistem PowerShare diberikan kepada ketiga-tiga model S10 yang dilancarkan. Peranti ini turut masih mempunyai kemampuan kalis debu dan air yang melepasi piawaian IP68. Ini membolehkannya direndam pada kedalaman 1.5 meter selama 30 minit.


Rekabentuk


Kami merasakan Galaxy S10e ialah peranti dengan rekaan paling menarik di antara tiga peranti yang dilancarkan. Ini adalah kerana saiznya yang lebih padat membuatkannya paling selesa digunakan dengan sebelah tangan.


Lubang kamera pada GalaxyS10e kelihatan lebih besar kerana saiz skrinnya yang lebih kecil. Namun begitu dengan kedudukannya pada bucu atas sebelah kanan, kami tidak merasakan ia mengganggu pengguna peranti. Ini ialah jawapan kepada pengguna yang tidak mahu peranti mempunyai skrin takuk tetapi masih mendambakan skrin dengan bezel yang nipis.


Secara peribadi kami merasakan rekaan skrin berlubang adalah lebih elegan berbanding takuk Infinity-V dan Infinity-U. Skrin yang rata juga sebenarnya adalah lebih baik untuk menonton kandungan video kerana tiada kecacatan visual apabila video dipaparkan pada bahagian skrin yang melengkung. Namun begitu di dalam mod skrin penuh, kewujudan lubang kamera adalah mengganggu.



Pada bahagian belakang terdapat sistem dwi-kamera yang disusun mendatar. Bonjolnya adalah kecil dan tidak mengganggu apabila peranti diletakkan pada permukaan meja. Tiada pengimbas nadi disertakan pada Galaxy S10e. Ini memberikan rekaan kamera yang lebih kemas jika dibandingkan dengan Galaxy S10 dan S10+.



Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang besar diperbuat daripada logam. Ini adalah kerana ia mempunyai sebuah pengimbas cap jari terbina. Ramai yang merasakan kedudukan butang ini adalah terlalu tinggi apabila rekaannya tertiris. Selepas menggunakannya selama beberapa hari, kami merasakan ini ialah posisi yang agak selesa kerana ibu jari boleh mengaksesnya dengan pantas.


Dengan kata lain kedudukan butang kuasa ini adalah ergonomik jika boleh dibandingkan dengan yang ditemui pada Sony Xperia X yang pernah kami ulas. Kelajuan mengimbas pula amat pantas berbanding pengimbas dalam skrin ultrasonik Galaxy S10 dan S10+.


Pada sisi kiri pula terdapat butang suara dan Bixby. Kesemua butang diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh. Ia tidak bergoyang apabila ditekan. Seperti kedudukan butang kuasa, kedua-dua butang ini juga terletak pada sisi selesa mudah diakses.


Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah peranti dihimpit dengan bicu audio pada sebelah kiri dan pembesar suara pada bahagian kanan. Talam dwi-SIM nano pula ditemui pada bahagian atas. Talam hibrid sekali lagi digunakan bagi turut menyokong kad mikro SD untuk penambahan storan dalaman. Kewujudan bicu audio amat kami hargai kerana kami percaya peranti mercu harus mempunyai kesemua I/O penting untuk pengguna yang telahpun membayar harga premium untuk membelinya.



Bingkai kini mempunyai kemasan logam berkilat tanpa warna yang selama ini dipadankan dengan panel belakang. Rekaan ini mengingatkan kami kepada rekaan peranti Galaxy S terdahulu yang turut membiarkan bingkai tidak dicat. Sempena ulang tahun ke-10 siri Galaxy S, Samsung mengembalikan rekaan klasik ini.


Dengan bingkai berbucu bulat dan tubuh yang bersaiz kecil, sekali lagi kami merasakan S10e ialah peranti yang paling menarik rekaannya di antara tiga yang dilancarkan. Kami hanya kecewa warna eksklusif Canary Yellow yang membuatkannya kelihatan amat comel masih belum ditawarkan di Malaysia.


Kami dapat merasakan percaturan Samsung dengan Galaxy S10e berkemungkinan besar akan membuahkan hasil sama seperti iPhone XR kepada pihak Apple. Kedua-dua peranti memberikan pemproses kelas mercu dengan spesifikasi yang baik dan tidak menyertakan fungsi tambahan yang tidak diperlukan majoriti pengguna.


Antaramuka


Sistem operasi Android 9 Pie dengan pelancar Samsung One UI 1.1 digunakan. Ini adalah antaramuka yang lebih terkini berbanding yang baru digunakan pada Galaxy S9 dan Note 9. Perbezaan terletak pada set ikon baharu yang lebih ceria dan comel berbanding yang ditemui pada One UI 1.0 serta Digital Wellbeing terbina di dalam sistem.


Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Elemen antaramuka diletakkan pada bahagian bawah skrin bagi memudahkan lagi akses. Rekaannya juga lebih minimalis berbanding Samsung Experience. Apa yang kami sedari sejak kebelakangan ini antaramuka pelancar Samsung semakin mengikut langkah Android Asli yang mudah difahami dan sedap mata memandang.


Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android Pie asli juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Pengguna boleh mengubah aplikasi dengan menggerakkan jari di atas butang home dan kemudian menatal ke kanan.


Terdapat satu lagi pilihan navigasi menerusi tatalan dari bawah skrin. Namun begitu kami merasakan sistem navigasi ini tidak intuitif untuk digunakan. Selari dengan One UI baharu, proses melakukan multi window juga diubah. Tiada lagi butang khas untuk melancarkannya tetapi pengguna menekan butang multi-tugas, tekan ikon aplikasi untuk membuka menu multi-window sebelum memilih aplikasi yang ingin digunakan. Proses pengaktifkan multi-window pada Samsung Experience pada hebat kami adalah jauh lebih baik.


Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S10e.


Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.


Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.


Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.


Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bermain.


Hide Front Camera – Mengembalikan dahi pada peranti jika pengguna tidak menggemari lubang kamera. Tetapi ini menyebabkan bahagian dahi peranti kelihatan terlalu besar dan buruk.


Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.


Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.


Menatal Talam Notifikasi – Pengimbas cap jari fizikal boleh digunakan sebagai pad sesentuh untuk menurunkan talam notifikasi. Ini fungsi yang unik hanya untuk Galaxy S10e dan tidak diberikan kepada GalaxyS10 serta S10+.


Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.


Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.


One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.


Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Ini membolehkannya berfungsi seakan sebuah powerbank.



Kamera


Tidak seperti dua “abang besarnya”, Galaxy S10e hanya mempunyai sistem dwi-kamera 12+16 Megapixel (f/1.5+f/2.4)+f/2.2 dengan sensor terbesar digunakan pada lensa sudut ultra-lebar. Tiada kemampuan melakukan zum optikal pada peranti ini. Tetapi kedua-dua sensor yang digunakan adalah sama seperti yang ditemui pada Galaxy S10 dan S10+. Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 10-Megapixel f/1.9 digunakan untuk rakaman swafoto dan swavideo beresolusi tinggi sehingga 4K.


Peranti hanya menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 16:9, 19:9 dan 1:1. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 60 dengan HDR. Mod-mod kamera yang disertakan adalah seperti Panorama, Live-Focus, Pro, Instagram dan Super Slow Motion.


Bercakap mengenai Live Focus, kali ini terdapat tetapan baharu yang membolehkan latar belakang diubah dengan beberapa penuras kesan khas. Antara yang boleh dilakukan ialah memisahkan latar belakang dengan subjek dan mengubahnya menjadi mod monokrom.



Kualiti Gambar


Gambar yang diambil menggunakan Galaxy S10e adalah terang, menghasilkan semula warna yang tepat dan berfungsi dengan lancar. Dengan pengenalan lensa sudut ultra lebar, mengambil gambar secara berkumpulan boleh dilakukan dengan lebih mudah. Ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana sistem kamera Galaxy S10e adalah sama seperti Galaxy S10+ yang menerima pujian dari kami cuma tiada sistem zum optikal terbina.


Adakah pengguna akan merindui sistem zum optikal? Ini bergantung sepenuhnya pada keperluan masing-masing. Kami secara peribadi menggunakan sistem sudut ultra lebar lebih kerap berbanding zum optikal. Ketiadaannya langsung tidak kami rasai.


Dalam situasi pencahayaan yang baik seperti yang dapat anda lihat di bawah, penghasilan warna dan dedahan adalah amat baik. Malahan jika ada sumber cahaya yang terang seperti matahari sekalipun, kesan silau adalah kurang ketara jika dibandingkan dengan kamera peranti generasi sebelumnya. Sistem HDR dan Scene Optimiser dengan bijak melakukan tetapan kamera yang terbaik.


Walaupun dengan Scene Optimiser diaktifkan sepanjang masa, tiada sela masa berlaku setiap kali butang kamera dipetik. Aplikasi kamera Samsung adalah antara yang terpantas di pasaran dan Galaxy S10e meneruskan tradisi ini.




Kami menyedari apabila menggunakan mod Live-Focus, kemampuan kamera membeza subjek dengan latar belakang bergantung kepada situasi. Seperti pada gambar di atas, kesan bokeh tidak tepat dapat dilihat sekitar daun. Peranti yang tidak mempunyai kamera TOF akan mempunyai masalah ini kerana dunia tidak diambas secara 3D.  Seterusnya mari kita lihat prestasi pada waktu malam.



Gambar pada waktu malam tidak menunjukkan kesan hingar yang teruk. Objek masih lagi tajam tetapi kami menyedari imej sedikit lembut jika dibandingkan dengan gambar pada waktu siang. Penghasilan semula warna adalah tepat, sama seperti situasi sebenar. Kerana penggunaan lensa f/1.5, kesan silau dapat dielakkan. Sumber cahaya yang kuat kelihatan jelas dan bukannya bebola bulat yang biasanya dilihat pada kamera peranti kelas pertengahan. Prestasi kamera pada waktu malam adalah lebih baik dari biasa tetapi masih di belakang Huawei Mate 20 Pro yang sedang kami gunakan sekarang,


Berikut pula ialah contoh gambar yang diambil menggunakan lensa sudut lebar dan lensa sudut ultra lebar. Anda boleh melihat sendiri jenis gambar yang boleh diambil menggunakan lensa sudut ultra lebar tanpa anda perlu bergerak ke belakang



Kemampuan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar Galaxy S10e adalah setanding dengan yang ditemui pada Galaxy S10+. Ketiadaan sistem zum optikal tidak berapa dirasai kerana kami memang jarang sekali menggunakannya dalam tugasan harian. Tetapi harus diakui kemampuan mengambil gambar pada waktu malam dan makro yang belum setanding dengan Huawei Mate 20 Pro apatah lagi dengan P30 Pro yang sedang kami uji.


Namun begitu satu lagi kekuatan Galaxy S10e terletak pada video. Ia boleh merakam video pada resolusi 4K 60FPS dengan sistem Super Steady yang tidak wujud pada peranti Huawei. Di akhir hari kamera Galaxy S10e masih lebih baik berbanding 99% peranti lain di pasaran. Bergantung kepada pengguna untuk merasakan ketiadaan sistem zum sebagai kekurangan yang besar ataupun tidak.


Audio


Terdapat sokongan audio stereo pada peranti ini dengan satu pembesar suara terletak pada gagang telinga dan sebuah pada bahagia bawah peranti. Dengan sokongan audio Dolby Atmos, kualiti audio yang dihasilkan adalah lantang serta jelas. Dolby Atmos dengan bijak mengesan kandungan yang sedang dimainkan dan mengubah tetapan yang paling sesuai untuk kandungan tersebut. Pengguna masih boleh memilih mod Movie, Audio, dan Music.


Audio yang dilontar menerusi pambesar suara adalah lebij lantang berbanding yang mampu dihasilkan oleh pembesar suara Galaxy S9+ dan Galaxy Note 9. Audio adalah seimbang dan tidak pecah walaupun pada tetapan audio tertinggi.


Perkara yang paling menarik ialah masih terdapat bicu audio 3.5mm. Samsung masih merasakan bicu audio ialah komponen penting yang masih perlu disertakan walaupun mereka ada menghasilkan aksesori bluetooth seperti Galaxy Buds.



Kualiti audio menerusi fon telinga AKG yang yang disertakan adalah memuaskan. Dentuman bass adalah bermaya dengan treble yang cukup rangup. Kualiti audio dapat dipertingkatkan lagi dengan menggunakan aplikasi yang menala audio menurut telinga pengguna. Kualiti audio menerusi tambatan bluetooth juga memuaskan menerusi sokongan bluetooth 5.0.


Pelbagai aksesori yang kami uji dapat ditambat dengan pantas dan menunjukkan tahap bateri dalam masa nyata. Pepijat audio terhenti apabila skrin dimatikan seperti pada Galaxy S10+ tidak lagi dialami selepas kemas kini diberikan. Pendek kata jika kualiti audio yang baik adalah penting bagi anda, Galaxy S10e tidak mengecewakan.


Penanda Aras


Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan, cip Exynos 9820 peranti ini  mencatatkan 4362 markah dalam ujian satu teras Geekbench 4 dan 9603 markah dalam ujian multi teras. Ini adalah markah yang hanya sedikit lebih rendah berbanding 4505 dan 9981 yang dicatatkan oleh Galaxy S10+. Ketika artikel ditulis, Galaxy S10+ masih memegang rekod ujian Geekbench tertinggi untuk peranti Android.


Markah ini masih di belakang markah tertinggi pernah dicatatkan di makmal Amanz oleh iPhone XS Max. Sebagai peringatan Apple A12 Fusion mencatatkan 4834 markah untuk ujian satu teras dan 11,430 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench.


Tetapi di dalam ujian penanda aras Antutu pula, Galaxy S10e mencatatkan 320,107 markah dan sedikit lebih rendah berbanding 329,343 markah yang dicatatkan oleh Galaxy S10+. Walaupun bersaiz padat, Galaxy S10e masih mampu mempunyai kemampuan memproses yang tidak kurang hebatnya berbanding Galaxy S10+.


Dalam kegunaan harian peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang masalah sela masa. Gabungan pemproses berkuasa dan saiz RAM yang lebih besar dari biasa memastikan peranti ini tidak mempunyai masalah melancarkan lebih dari 15 aplikasi tanpa perlu melakukan proses segar semula. Melancarkan aplikasi juga pantas dan kami tidak mengalami sebarang masalah pemanasan melampau atau aplikasi gagal dilancarkan. Status Galaxy S10e sebagai peranti padat Android paling berkuasa di pasaran sekarang memang tidak dapat dinafikan lagi.



Bateri


Bateri sebesar 3100 mAh yang disertakan hanya 100 mAh lebih besar berbanding yang digunakan pada Galaxy S9 tahun lalu. Ia juga adalah 1000 mAh lebih kecil berbanding yang digunakan pada Galaxy 10+. Dalam ulasan Galaxy S10+ kami memuji ketahanan bateri peranti tersebut. Tetapi saiz bateri Galaxy S10e adalah agak kecil dan mendatangkan kesan negatif ke atas hayat penggunaan peranti,


Pada penggunaan berat, peranti mampu bertahan hampir 13.5 jam dengan SOT hampir enam jam. Ini hanyalah hayat bateri yang sederhana bagi sebuah peranti mercu. Pada penggunaan lebih ringan peranti boleh bertahan hampir 24 jam dengan SOT hanya sekitar 3 jam sahaja. Galaxy S10e bukanlah peranti yang boleh diandalkan jika anda mahu ia bertahan sepanjang hari.


Pengecas 18W yang diberikan akan mengecas semula bateri sehingga penuh dalam masa sekitar 96 minit. Di kalangan pengeluar peranti mercu Android, Samsung ketinggalan dalam penggunaan teknologi pengecas yang pantas. Huawei memberikan sokongan pengecas 40W pada peranti mercu yang membolehkan pengecasan dilakukan dalam masa sejam sahaja.


Pengecasan nirwayar 15W yang disertakan adalah yang terpantas pada telefon pintar tetapi masa mengecas menerusi sistem adalah melangkaui dua jam dan sekali lagi mengambil masa yang lama untuk tahun 2019.



Pesaing


Bukan rahsia Galaxy S10e ialah peranti pesaing kepada iPhone XR yang turut hadir dengan spesifikasi mercu. Kami memilih Huawei P30 sebagai peranti pesaing ketiga kerana ia baru sahaja dijual di Malaysia dan turut mempunyai spesifikasi kelas mercu. Di alam kategori peranti mercu pertengahan, ketiga-tiga peranti ini memberikan persaingan yang amat sengit di antara satu sama lain.

































































Peranti Pesaing
Apple iPhone XR Huawei P30 Samsung Galaxy S10e
6.1″ IPS LCD Liquid Retina Display, HDR10  (326 PPI) 6.1″ OLED FHD+ HDR10 (422 PPI) 5.8″  Adaptive AMOLED FHD+ HDR10+ (438 PPI)
2.5 GHz x 2 + 1.6 GHz x 4 Teras Apple A12 Bionic 2.6 x 2 + 1.92 x 2 + 1.8 x 4 GHz Kirin 980 2.73 x 2 + 2.31 x 2 + 1.95 x 4 GHz Exynos 9820
Apple Mali-G76 MP10 Mali-G76 MP12
3 Gigabyte 8 Gigabyte 6 Gigabyte
64/128/256 Gigabyte 128 Gigabyte (NM Card sehingga 256GB) 128 Gigabyte (512GB MikroSD)
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.8, OIS, PDAF, Zum Optikal Kamera Utama 40+16+8 Megapixel. f/1.8+f/2..2+f/2.4, OIS, PDAF, Zum Optikal Kamera Utama 12+16 Megapixel, (f/1.5+f/2.4) + f./2.2, OIS, Dual Pixel
Kamera Hadapan 7-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 32=Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 10 -Megapixel, f/1.9
IP67 IP53 IP68
3942 mAh (18W)/Nirwayar Qi 3650mAh (SuperCharge 22.5W)/Nirwayar Qi 3100 mAh (Adaptive Fast Charging 18W)/Nirwayar Qi
RM 3599 – RM 4299 RM 2699 RM 2699

Kesimpulan


Samsung Galaxy S10e ialah telefon pintar mercu kompak Android terbaik di pasaran pada waktu ini kerana teknologi skrin yang terbaik, spesifikasi yang berkuasa, kemampuan kamera yang amat memuaskan dan tanpa membuang banyak fungsi utama bagi mengekalkan saiz yang kecil. Dengan Sony mengurangkan pengeluaran peranti mercu kompak yang dahulu adalah kepakaran mereka, Galaxy S10e dengan mudah memenuhi keperluan pengguna yang ingin mencari peranti mercu berkuasa dengan skrin sub 6-inci.



Dua kamera dari Galaxy S10+ yang menerima pujian dari kami digunakan semula di Galaxy S10e. Jadi tidak mengejutkan kemampuan mengambil gambar dan video Galaxy S10e tidak mengecewakan. Kekecewaan hanya kami temui pada ketahanan bateri yang tidak memuaskan. Perbezaan 1000 mAh di antara bateri Galaxy S10e dan Galaxy S10+ menyebabkan waktu skrin terpasang hampir dipotong separuh. Walaupun jauh lebih kecil, masa pengecasan kedua-dua peranti adalah hampir sama kerana sistem pengecasan 18W sahaja disokong.


Saiz yang lebih kecil ini membuatkannya paling selesa digunakan sebelum tangan di antara tiga model Galaxy S10 yang dikeluarkan tahun ini. Namun kami harus aku selepas bertahun menggunakan peranti dengan skrin melangkaui 6″, menggunakan Galaxy S10e dengan skrin 5.8″ terasa amat canggung.


Dengan harga RM2699 sebuah, Samsung Galaxy S10e memberikan nilai yang baik kerana harganya yang “mampu milik” bagi sebuah peranti mercu. Ia adalah alternatif yang baik untuk iPhone XR dan Huawei P30 yang kedua-duanya bersaing di dalam kategori yang sama.













Kelebihan Kekurangan


  • Peranti Android bersaiz kecil paling berkuasa pada tahun setakat ini. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan tanpa masalah.

  • Antaramuka One UI memudahkan penggunaan peranti dengan sebelah tangan.

  • Sistem imbasan cap jari sisi yang pantas.

  • Kemampuan rakaman video dan gambar yang amat baik.

  • Saiz kecil amat selesa di dalam tangan.

  • Masih dilengkapi bicu audio.

  • Pengecasan nirwayar disokong pada kuasa 15W. Turut boleh mengecas peranti lain secara nirwayar.




  • Sistem imbasan wajah tidak berfungsi di dalam gelap. Tiada lagi sistem imbasan iris infra merah.

  • Pengecasan pantas hanya pada kuasa 18W yang perlahan berbanding pesaing.

  • Hayat bateri yang kurang memuaskan.

  • Mod menghilangkan lubang kamera menghasilkan saiz dahi peranti yang amat besar.




Norlida Ishak Shop