Expired : 18.06.18

Ulasan: Xiaomi Mi 9 SE – Peranti Kompak Menarik Tetapi Kurang Berkuasa


Peranti yang kecil dan berkuasa adalah sebuah peranti yang paling sempurna, itu adalah pendapat saya. Paling menarik yang saya gemar adalah Google Pixel 3 dan Galaxy S10e. Ia mempunyai spesifikasi peranti mercu, sedap dipegang, mudah dikawal dan padat dengan kuasa. Untuk pengeluar lain, zaman dulu yang popular yang terlintas di fikiran saya adalah Sony Xperia Z3 Compact dan juga OnePlus X.



Terkini sudah kurang pengeluar yang hadir dengan peranti sebegini, kerana apa yang mereka kejarkan adalah tiru-meniru pesaing lain untuk hadir dengan peranti besar, nirbingkai, kamera pop-naik dan banyak lagi. Pada bulan April, Xiaomi Malaysia telah melancarkan Xiaomi Mi 9 SE secara rasminya. Melalui peranti ini, Xiaomi memfokuskan kepada peranti bersaiz kecil, padat dengan kuasa dan juga kamera yang hebat. Namun, adakah peranti kecil dari Xiaomi ini cukup berkuasa? Dalam artikel ini akan saya ulas pengalaman penggunaan Xiaomi Mi 9 SE sebagai peranti harian saya.


Spesifikasi


Xiaomi Mi 9 SE bukanlah sebuah peranti mercu. Ia dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan premium, yang mana dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 712. Cip ini adalah cip binaan 10nm, yang mana mempunyai binaan yang sama dengan Snapdragon 845. Cip ini juga adalah naik taraf kepada Snapdragon 660 yang sudah dikitar oleh Xiaomi selama beberapa tahun. Mi 9 SE ini pula dipadankan dengan memori 6GB RAM dan pilihan storan dalaman 64GB atau 12GB. Beralih kepada skrin, peranti ini mempunyai skrin Super AMOLED 5.97-inci FHD+ dengan sokongan HDR. Ia mempunyai nisbah skrin-ke-badan melebihi 84% dengan nisbah resolusi 19.5:9 dan ppi 432.



Untuk kamera, peranti ini mempunyai kamera utama tri-lensa yang menggabungkan lensa 48MP + 8MP telefoto + 13MP ultra-lebar dan kamera swafoto 20MP. Untuk sekuriti ia menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal. Kemudian untuk audio ia mempunyai pembesar suara mono dan tiada port bicu audio 3.5mm. Dari segi bateri, ia hanya mempunyai kapasiti 3070mAh dan mempunyai sokongan pengecasan pantas 18W melalui port USB-C.


Skrin


Walaupun saiz peranti ini kecil, skrinnya masih lagi hebat. Panel Super AMOLED yang cukup terang, warna hitam yang benar-benar gelap dan butiran yang mencukupi. Skrin peranti sungguh memuaskan, menonton video-video di Netflix amat mengasyikkan dan kandungan HDR di YouTube agak baik. Sedikit mengecewakan adalah hasil HDR pada skrin ini adalah tidak memuaskan, warnanya adalah sedikit pudar dan malap.



Penggunaan di bawah cahaya matahari pula tidak begitu teruk dan tidaklah sempurna. Begitu juga dengan pandangan skrin peranti ini dari sudut-sudut lain, ia tidak teruk dan tidak terbaik. Pada saya ia mencukupi. Kadar segar paparan Mi 9SE adalah standard dengan mana-mana peranti lain, iaitu 60Hz. Peranti ini masih lagi menggunakan rekaan bertakuk dan tidak menggunakan rekaan hampir nirbingkai seperti pesaing lain.


Takuk pada peranti ini adalah takuk kecil atau nama lainnya adalah waterdrop notch. Bentuk takuk sebenar pada peranti ini sebenarnya agak tidak menarik kerana ia memanjang seakan Essential Phone. Lengkungan pada takuk peranti ini dioptimasikan dengan kemaskini perisian MIUI, kerana pengguna Xiaomi lebih gemarkan rekaan takuk seakan OnePlus 6T.


Skor skrin peranti ini saya berikan 8/10.


Prestasi


Seperti yang saya terangkan pada perenggan ‘Spesifikasi’ tadi, peranti ini dijana dengan Snapdragon 712. Unit ulasan kami ini mempunyai memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Di sini pengguna tidak akan ada masalah prestasi dengan mana-mana variasi pilihan, kerana kedua-dua variasi yang terdapat di pasaran hanya mempunyai beza saiz storan sahaja.


Prestasi peranti ini tidak sehebat seperti yang saya jangkakan. Ia sepatutnya berkuasa dan memuaskan, namun atas pengalaman penggunaan saya – ia biasa-biasa sahaja. Prestasi yang klise ditemui pada sebuah peranti kelas pertengahan. Di skrin utama peranti, sedikit lengah masa terasa apabila tatal kiri ke kanan dan kanan ke kiri. Membuka aplikasi juga terasa perlahan dan langsung tidak memuaskan. Jalan penyelesaian pertama saya adalah menukar pelancar pihak ketiga. Dari sini, prestasi dilihat bertambah baik. Pelancar yang saya pilih adalah Hyperion. Kemungkinan besar, MIUI masih tidak dioptimasi dengan lebih baik untuk dijalankan pada peranti dengan Snapdragon 712.



Seterusnya, permua. Bermain permua pada sesebuah peranti adalah setu perkara yang penting. Walaupun saya jarang bermain permua, tetapi prestasi dan pengalaman bermain yang baik adalah satu kewajipan. Permua yang kerap saya main adalah Asphalt 9. Prestasi sungguh menakjubkan, lebih-lebih lagi dengan bantuan mod permua yang terbina pada MIUI 10. Tidak ada masalah prestasi ketika bermain permua, semuanya berjalan dengan biasa sahaja.



Untuk prestasi sekuriti pula saya uji berdasarkan kepantasan peranti dinyahkunci menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin. Ia menggunakan jenis optikal dan pada saya ia agak perlahan. Tetapi ia kerap berjaya dan jarang gagal mengesan jari saya, jadi ia tidak berada dalam kategori yang mengecewakan. Ia mencukupi kehendak saya. Nyahkunci berasaskan wajah pula adalah berasaskan kamera swafoto dan tidak selamat. Hanya dengan mengintai sahaja, peranti terus dinyahkunci. Ia ibarat menyahkunci peranti menggunakan niat.



Ujian tanda aras yang saya lakukan adalah menggunakan aplikasi AITuTu, AnTuTu dan juga Geekbench 4. AITuTu adalah untuk menguji kehebatan sistem kecerdasan buatan yang terbina dalam peranti ini, Mi 9SE mendapar skor 52,738. Untuk AnTuTu pula, selepas beberapa ujian dilakukan – skor yang diterima adalah 177,568. Skor ini berada dalam 50 teratas. Mengejutkan, ia berada di bawah Redmi Note 7. Akhir sekali adalah ujian Geekbench 4, yang mendapat skor satu-teras 1873 dan skor multi-teras 5766. Jika bandingkan skor peranti ini dengan OnePlus 5T di pangkalan data Geekbench, OnePlus 5T adalah jauh lebih berkuasa.



Skor prestasi peranti ini saya berikan hanya 6/10.


Kamera


Kamera buat peranti yang kecil lagi comel ini, memeranjatkan saya. Tidakku sangka ia mampu mengambil hasil gambar yang menakjubkan. Saya akan mulakan dengan kamera swafoto terlebih dahulu. Ia menggunakan lensa 20MP di bahagian takuk kecil. Hasil gambar swafotonya cukup cantik dan kelihatan natural. Tidak terlampau lembut atau tipu. Namun, semua itu boleh berubah dengan mod kecantikan kecerdasan buatan yang terbina. Mi 9 SE mempunyai mod kecerdasan buatan pembedahan plastik secara maya dan juga menyolek wajah pengguna.


Berikut adalah hasil, di kiri adalah yang asli tanpa sebarang suntingan atau mod kecantikan dan di bahagian kanan pula adalah mod kecantikan kecerdasan buatan. Saya sendiri terkejut dengan hasilnya. Ada kemungkinan besar, Xiaomi telah menggunakan teknologi daripada Meitu. Ini kerana Meitu kini adalah milik Xiaomi.



Untuk gambar bokeh melalui kamera swafoto pula, ia agak baik dari yang saya jangkakan. Mod bokehnya mampu mengambil gambar yang cantik dan mampu mengaburkan latar dengan cukup baik. Di bahagian rambut saya tidak ada masalah, di baju dan lain-lain. Saya turut sertakan satu lagi gambar swafoto biasa untuk membandingkan kualiti.



Kita teruskan pula ke bahagian kamera utama. Adakah kamera yang menggabungkan lensa 48MP + 8MP telefoto + 13MP ultra-lebar ini baik? Di bawah ini adalah sampel mod biasa, mod ultra-lebar dan juga telefoto. Pada saya untuk peranti kelas ini, hasil kameranya adalah terbaik. Butiran yang cantik, warna yang baik, hasil dynamic range yang menarik. Cuma jika teliti, butiran pada gambar telefoto adalah sedikit kurang. Walau bagaimanapun, yang paling ramai risau adalah lensa ultra-lebar. Dalam ujian saya, hasilnya cukup membuatkan hati saya gembira.


Click to view slideshow.

Bagaimana pula dengan kamera 48MP? Adakah ia gimik semata-mata atau di sebaliknya? Sensor 48MP yang sama digunakan pada Xiaomi Mi 9 atau Redmi Note 7 Pro. Gambar 48MP hanyalah saiz semata-mata dan boleh dikatakan hasil gambarnya adalah ibarat mengambil gambar berformat RAW. Saiz gambar 48MP saya adalah 13.4MB dan mod biasa dengan fungsi kecerdasan buatan aktif adalah 4.82MP sahaja. Jadi lensa ini bukanlah lensa gimik.



Terkahir adalah mod malam. Xiaomi mempunyai mod malam mereka yang tersendiri. Seperti peranti Huawei, selepas gambar diambil – ia mengambil masa beberapa saat untuk diproses. Gambar menara berkembar KLCC yang saya ambil pada waktu malam ini sungguh indah. Warnanya, butirannya, cahaya dan hampir tiada kesan hingar – saya berikan skor A di sini.



Untuk rakaman video, peranti ini mampu merakam sehingga 4K 30 FPS. Hasil audio rakaman menggunakan mod 4K adalah yang terbaik, namun dari segi fokus ia sedikit mengecewakan dan gegaran ketika merakam video agak teruk dan tidak memuaskan. Disebabkan ia adalah peranti Android, ia tetap mempunyai hasil IG Story yang sama taraf dengan 3GP – jadi rakaman video disini adalah bukan fokus utama Xiaomi.


Secara keseluruhan, skor kamera yang saya berikan adalah 8/10.


Bateri


Bateri peranti ini adalah yang paling mengecewakan. 3070mAh adalah sangat kecil untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Namun Xiaomi memandang Xiaomi Mi 9 SE sebagai Mi 9 Smaller Edition. Jadi mereka menganggap peranti ini adalah peranti mercu dan berada dalam kategori premium. Seperti mana yang rama tahu, peranti dalam kategori ini jarang mempunyai bateri dengan kapasiti bateri yang besar.



Saya tidak berkesempatan mengambil gambar rakaman skrin SOT peranti ini yang penuh. Namun, ia agak lemah dan mengecewakan. Pada tahap 48%, SOT baru sahaja 1 Jam 46 Minit. Ini adalah berdasarkan WiFi, belum lagi data. Pengalaman saya, ia ibarat Pixel 3. Jika banyak penggunaan luar talian, ia mampu mencapai 5 jam. Namun kebanyakannya ia hanya bertahan pada sekitar 3-4 jam SOT sahaja.


Sistem pengecasan pantas adalah 18W berasaskan QC4+ atau turut boleh gunakan mana-mana pengecas USB-PD yang diiktiraf. Skor bateri buat peranti ini adalah 5/10.


Antaramuka


Seperti mana-mana peranti Xiaomi yang lain, ia menjalankan MIUI. Versi MIUI pada peranti ini adalah MIUI 10.2. Tidak banyak keistimewaan untuk peranti ini. Ia adalah klise dengan mana-mana peranti Xiaomi yang lain. Tetapi saya tetap gemarkan MIUI 10 pada Mi 9 SE ini.



Antara sebabnya adalah, Mi 9 SE dan Mi 9 adalah dua peranti Xiaomi pertama yang hadir dengan MIUI 10 yang mempunyai mod tema gelap secara mendalam yang stabil. Dengan paparan Super AMOLED, mod tema gelap pada peranti ini sungguh menawan. Seterusnya adalah sokongan Always-On Display berwarna. Jika pada Xiaomi Mi 8 dulu ia tidak disertakan, Mi 9 SE kini telah disertakan. Tidak banyak tetapan Always-On Display yang boleh dilakukan, tetapi rekaan yang diberi banyak pilihannya.


Always-On Display pada peranti ini adalah jenis yang bergerak-gerak dari satu masa ke satu masa dan ia turut mengubah warna mengikut rekaan yang dipilih. Ini adalah bagi mengelakkan isu burn-in skrin terjadi. Untuk lihat bagaimana rupa antaramuka MIUI 10 dengan mod tema gelap berserta dengan ciri-cir lain, boleh lihat imej-imej di bawah yang saya sertakan.


Click to view slideshow.

Skor antaramuka adalah 9/10. Saya gemar menggunakan MIUI, kerana ia mudah dan ringkas.


Rekaan


Seperti yang saya katakan dalam perenggan ‘Bateri’ tadi, Xiaomi menganggap Mi 9 SE sebagai peranti mercu yang kecil. Jadi ia adalah premium dan hebat. Di hadapan adalah skrin dengan perlindungan Gorilla Glass 5 dengan takuk kecil. Earpiece berada di bahagian atas takuk tersembunyi dalam bingkai peranti. Di bawah hadapan terdapat dagu yang pada saya tidak begitu tebal.



Beralih ke bahagian belakang, terdapat bonjol kamera yang sungguh tebal dan petanda duit pengguna akan mudah habis, dek kerana membaiki kamera yang pecah. Bonjol kameranya sangat tinggi dan jika terjatuh, pasti pecah. Panel belakang pula adalah kaca dengan warna Ocean Blue. Ia bukan warna cerun yang klise, tetapi mempunyai kemasan cermin dan sedikit kehijauan/pelangi. Di bawah bonjol kamera tadi adalah LED flash dan di bahagian belakang bawah peranti terdapat logo Xiaomi.



Di atas peranti terdapat sensor infra merah untuk alat kawalan jauh bersama-sama dengan mikrofon. Di bahagian bawah pula terdapat dua kekisi pembesar suara, yang mana pembesar suaranya adalah mono. Bersama-sama dengannya pula adalah port USB-C. Di sisi kiri terdapat slot kad sim dan sisi kanan pula adalah butang kuasa dan butang aras suara. Secara keseluruhan, rekaan peranti Mi 9 SE ini agak menawan dan mengambil perhatian hati saya.



Harga


Sejak kebelakangan ini, Xiaomi tidak menjual peranti mereka pada harga yang mahal. Harga kebanyakan peranti Xiaomi adalah berpatutan dan pada saya untuk peranti dengan nisbah harga-ke-prestasi, Xiaomi adalah pilihan terbaik. Xiaomi Mi 9SE dijual pada harga hanya RM1299 untuk variasi 6/64 GB dan variasi 6/128 GB pula dijual pada harga RM1499 sahaja. Warna pilihan yang pengguna boleh pilih adalah Piano Black ataupun Ocean Blue.


Dengan spesifikasi sebegini, harga Mi 9 SE boleh dikatakan murah dan pesaing terdekatnya adalah Samsung Galaxy A70 yang berharga menghampiri RM2K. Jadi, untuk skor harga saya berikan 9/10.


Konklusi


Adakah Xiaomi Mi 9SE sebuah peranti yang berbaloi? Adakah ia patut dimiliki atau patut dibeli?


Jika anda ingin mencari peranti yang kompak, kamera yang cantik dan mempunyai kuasa yang mencukupi, ini mungkin peranti yang terbaik. Mana anda boleh cari sebuah peranti kompak harga bawah dari RM1500 yang mempunyai skrin AMOLED yang cantik, kamera memuaskan dan rekaan yang padat dan sedap dipegang? Pada saya Mi 9SE satu-satunya peranti terkini yang bersaiz kecil yang anda boleh dapatkan.



Jika anda tidak hiraukan bateri dan pelancar MIUI yang lengah masa, peranti ini sudah cukup menjadi peranti harian terbaik. Saya telah gunakan Mi 9SE lebih dari sebulan dan saya gembira dengan peranti ini. Apa-apa pun, anda semua adalah pembeli yang bijak. Rancang terlebih dahulu, telefon pintar yang anda ingin beli – apakah tujuan utamanya? Pasti anda tidak akan menyesal dengan pilihan anda.













Pro Kontra


  • Skrin AMOLED yang menyokong HDR

  • Kamera yang hebat

  • Rekaan premium dan bahan binaan yang premium.

  • Saiz kompak yang sedap dipegang

  • Harga berpatutan




  • Kurang berkuasa dan prestasi yang mengecewakan.

  • Bateri yang sangat lemah

  • Pelancar MIUI sedikit lengah masa




Norlida Ishak Shop