Expired : 18.06.18

Umat Islam di London pula diserang kulit putih di masjid


LONDON, 10 Rejab 1440H, Ahad – Seorang lelaki kulit putih menggunakan tukul dan kayu untuk menyerang umat Islam di luar sebuah masjid di timur kota raya ini, lapor media Britain beberapa jam selepas 49 jemaah dibunuh di dua buah masjid di New Zealand, semalam.


Media Britain melaporkan sekumpulan lelaki menjerit Islamophobia tatkala memandu di hadapan masjid berkenaan, dan memanggil jemaah yang hadir untuk solat Jumaat, semalam, sebagai pengganas, lapor akhbar Independent.


Seorang daripada tiga lelaki dilaporkan keluar daripada kenderaan dan menyerang umat Islam di hadapan masjid itu. Seorang mangsa berusia 27 tahun dilaporkan cedera dalam serangan itu.


Dalam klip video yang dirakam saksi, seorang penyerang dilihat memanjat bahagian depan kereta itu dalam cubaan melarikan diri dari lokasi kejadian.


“Suspek kemudian datang semula dan menaiki kereta itu. Mereka meninggalkan lokasi kejadian sebelum polis tiba, kata sumber Polis Metropolitan London kepada Independent, sambil mengesahkan suspek berkulit putih berusia dalam lingkungan 20-an.


Tiada tangkapan dibuat setakat ini.


Sementara itu, susulan serangan di dua buah masjid di Christchurch di New Zealand semalam, polis Britain mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan anggota mereka di sekitar masjid di London.


“Walaupun, tiada risikan yang mengatakan kejadian di Christchurch boleh berlaku di United Kingdom, polis meningkatkan rondaan di London, memfokuskan kepada tempat beribadat komuniti tertentu,” kata pegawai kanan polis antipengganas Britain, Neil Basu.


Katanya, polis memberi tumpuan kepada masjid, terutama ketika solat Jumaat.


Dalam kenyataan dikeluarkan selepas serangan di New Zealand, Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, bandar raya itu berdiri bersama-sama warga Christchurch mendepani kejadian itu.


“Saya telah berhubung dengan Polis Metropolitan London. Kawalan di sekitar masjid akan dipertingkatkan,” katanya. – Agensi



The post Umat Islam di London pula diserang kulit putih di masjid appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop