Expired : 18.06.18

UMMAH sokong kerjasama PAS-UMNO demi negara


BANGI, 3 Rejab 1440H, Ahad – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh usaha PAS dan UMNO bekerjasama kerana boleh mengembalikan semula dominasi kuasa politik di tangan orang Melayu, dan menjadi satu sejarah buat negara.

Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, pihaknya melihat kerajaan sekarang ini sudah hilang kawalan, dan dominasi DAP sangat ketara, termasuk mencatur kebanyakan polisi, sehingga menteri beragama Islam tidak lagi mampu menjaga hak orang Melayu dan agama Islam.

Justeru, UMMAH menyeru PAS dan UMNO supaya mengadakan kerjasama yang jelas, telus dan bertunjangkan kepada Islam untuk keharmonian rakyat dan negara.

“UMMAH juga menyeru menerusi kerjasama ini segera dapat memartabatkan kembali kuasa politik di tangan majoriti Melayu, sekali gus dapat melindungi agama Islam. Sejak kemerdekaan Tanah Melayu, British berjaya memecahkan orang Melayu-Islam kepada dua kelompok utama.


“Strategi pecah dan perintah ini berjaya melemahkan Melayu-Islam dari segi kuasa politik dan aspek lain seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Kemuncak kesan pepecahan ini telah dizahirkan pada keputusan PRU14 di mana ada pihak berkepentingan mengambil kesempatan sehingga mengganggu kestabilan dan keharmonian kaum di negara kita.

“Menyedari ancaman ini, UMMAH telah menegaskan betapa pentingnya kesatuan ummah. Ummah telah menggesa diadakan dialog ke arah persefahaman Melayu-Islam. Ini kerana perpaduan ummah adalah asas keharmonian negara bagi mendukung prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Haji Aminuddin berkata, kesediaan pemimpin berjiwa besar untuk melupakan perbezaan masing-masing demi kepentingan ummah perlu disokong oleh rakyat.

“Oleh itu UMMAH mewakili rakyat akan memainkan peranan memastikan kerjasama (PAS-UMNO) ini mencapai matlamat yang dicita-citakan oleh semua rakyat,” katanya.

Terdahulu, UMNO dan PAS mengumumkan secara rasmi mereka akan bekerjasama sebagai pembangkang dengan agenda utama ke arah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini.


The post UMMAH sokong kerjasama PAS-UMNO demi negara appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop