Expired : 18.06.18

UMNO Beri Amaran Kepada Kerajaan Tentang 3 Perkara ini. Ini Yang Zahid Beritahu

ICERD: Umno beri amaran jangan usik raja, Islam, bahasa


Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta agar tidak ada pihak yang akan mengganggu Perlembagaan sedia ada termasuk menyentuh agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Ahmad Zahid turut menegaskan Umno menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


“Jangan usik apa termaktub dalam perlembagaan, jangan usik umat Islam atau sama ratakan Islam dengan agama lain, jangan usik kedaulatan Raja-Raja Melayu, jangan ganggu gugat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


“Kita bukan mahu jadi perkauman atau ekstremis agama, kita juga tidak minta lebih daripada itu, kita mahu hak-hak yang ada dalam perlembagaan dikekalkan,” katanya dalam ucapan pada majlis Bersama Presiden Umno di Seremban, hari ini.


Tambahnya beliau tidak menghalang hak beragama bagi agama-agama lain termasuk hak berbahasa mengikut kaum masing-masing namun tetap akan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan sedia ada.


Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mengesahkan enam konvensyen hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun hadapan.


Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri malahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.


Mujahid: Jangan buat andaian melampau tentang ICERD


Masyarakat dinasihat untuk tidak membuat andaian melampau berhubung hasrat Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang boleh menimbulkan berbagai persepsi negatif dalam hubungan antara kaum di negara ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa berhubung rundingan berkenaan dan akan meneliti terlebih dahulu perkara tersebut dengan lebih terperinci.


“Apa yang ingin saya nasihatkan dalam hal ini, kita perlu menerima nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perkara ini perlu dibincang dahulu, tidak boleh tergesa-gesa dan kita pun tidak melihat perkara ini perlu dibuat tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kafa Interaktif peringkat negeri Pulau Pinang di Kepala Batas hari ini.


Mujahid turut menyuarakan kebimbangannya terhadap keghairahan pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan isu tersebut (ICERD) satu fakta yang tidak betul antara lainnya jika ditandatangani hak orang Melayu akan terhapus.


“Selain hak orang Melayu, hak raja-raja juga dikatakan akan terhapus, Islam dan sebagainya sedangkan benda itu tidak timbul. Segala apa yang kita buat perjanjian di peringkat antarabangsa sekalipun akan berakhir keputusan itu di peringkat penggubalan undang-undang iaitu di parlimen dan tidak semestinya mereka setuju,” katanya.


Beliau turut memberi jaminan bahawa perjanjian ICERD tidak akan mengubah entiti negara sama ada dari sudut perlembagaan, kebudayaan dan sebagainya.


Mujahid berkata pihaknya akan mengadakan rundingan meja bulat esok bersama Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi mendapatkan input dan maklum balas mengenai perkara tersebut.


“Dari situ (rundingan meja bulat) ia mungkin dapat membantu perdana menteri mendapatkan maklumat lengkap termasuklah memorandum yang telah dikemukakan oleh Gerakan Pembela Ummah yang baru-baru ini datang ke Parlimen dan ia akan turut dijadikan input,” katanya.


Pada Rabu lepas, perdana menteri dilapor berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.


Terdapat kegiatan edar kitab Bible


Dalam perkembangan lain, Mujahid mengakui terdapat aktiviti pengedaran kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.


Mujahid berkata beliau telah mengambil langkah dengan mendapatkan maklumat terlebih dahulu berhubung perkara itu daripada Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Pendidikan negeri dan Anggota Parlimen Bukit Mertajam dan ternyata kegiatan itu benar.


“Daripada maklumat yang kami dapat, ia memang berlaku perkara tersebut, cuma isunya ialah masih lagi kita melihat, sama ada kesalahan mengedarkannya itu kepada orang Islam. Ini kerana Artikel 11 (4) jelas menyebut agama lain bebas mengamalkan tetapi tidak boleh didakwahkan dan dipromosikan.


“Saya ingin memberi nasihat jangan menimbulkan apa-apa masalah kerana kita kena hormat Perlembagaan Persekutuan yang ada,” katanya.


Katanya pihak yang berbuat demikian bukannya dari pihak Kristian atau gereja di situ tetapi dipercayai dari wakil NGO dan beliau turut meminta NGO terbabit agar tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada masyarakat.


Mujahid berkata pihaknya mahu isu tersebut diselesaikan dan tidak mahu sebarang unsur kebencian timbul di sebalik perlakuan aktiviti tersebut.


sumber Mkini


Norlida Ishak Shop