Expired : 18.06.18

UMNO-BN komited terus aspirasi ‘Negara Kesepakatan’


SEREMBAN, 27 Zulkaedah 1440H, Selasa – UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited meneruskan aspirasi ‘Negara Kesepakatan’ selaras dengan seruan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyaksikan Malaysia yang bersatu padu dan aman di bawah pemerintahan Seri Paduka.


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seruan Seri Paduka itu sangat bertepatan dan diperlukan kerana Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan masyarakat kepelbagaian bangsa, agama, budaya dan bahasa.


“Kita diberkati dengan nikmat keamanan, perpaduan, keselamatan, kemakmuran ekonomi selama di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.


“UMNO dan BN komited untuk meneruskan aspirasi ‘Negara Kesepakatan’ ini. Hanya dengan konsensus, kejujuran dan sikap hormat-menghormati, kita akan berupaya memberi makna kepada kerencaman budaya negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Mohamad berkata, sesungguhnya perpaduan itu menjangkaui keamanan dan ia adalah prasyarat pembangunan dan kemajuan.


“Oleh itu, perlu wujud ikhtiar yang berterusan serta berkesan untuk menyuburkan keamanan dalam fabrik masyarakat kita.


“Sejarah telah membuktikan bahawa melalui perpaduan, Malaysia telah berjaya dibangunkan dengan pemahaman Negara Kesepakatan seperti yang diilhamkan oleh para bapa pendiri bangsa sebelum ini,” katanya.


Beliau juga berkata secara asasnya, keamanan dan perpaduan hanya akan dicapai apabila perwakilan politik masyarakat majoriti diperkukuh, ditambah baik dan diperkasakan menerusi wahana yang sewajarnya.


“Sebuah masyarakat Melayu dan Bumiputera yang bersatu akan menjadi tulang belakang yang kuat kepada Malaysia tetapi segala aspirasi ini haruslah diterjemahkan dengan penuh kesederhanaan dan ketelitian kerana akhirnya kerajaan harus memberikan keadilan kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik, bangsa, etnik dan perbezaan yang lain.


“Malaysia adalah sebuah negara yang kita bina bersama. Oleh itu, jalan bagi mempertahan dan memperkukuhkan semua ini, ada kalanya akan berliku, namun kita berjaya mengharungi semua itu sejak enam dekad yang lepas,” katanya. – Bernama


The post UMNO-BN komited terus aspirasi ‘Negara Kesepakatan’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop