Expired : 18.06.18

UMNO/BN Perlukan Sumbangan Tenaga, Buah Fikiran Untuk Bergerak Ke Hadapan – Tok Mat

KUALA KRAI, 12 Julai – Sesiapa yang ingin menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada parti adalah digalakkan apatah lagi dalam keadaan hari ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan kerjasama semua pihak untuk terus bergerak ke depan.


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sesuatu perkara diimbangi dengan baik dan jika banyak memberikan ke arah itu, kenapa tidak sedangkan parti memerlukan kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak.


“Tidak apa… kita berikan masa supaya orang boleh fikir secara rasional. Sesuatu perkara itu kita imbangi dengan baik juga. Kalau banyak baiknya kenapa tidak.


“UMNO dan BN sekarang memerlukan kerjasama semua pihak. Sesiapa yang mahu menyumbang tenaga dan buah fikiran memang kita galakkan… inikan pula bekas pemimpin negara dan bekas presiden parti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.


Terdahulu sebelum itu beliau merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Krai, di Pusat Khidmat Rakyat Chabang Tiga Sg Sok, di sini, hari ini.



Turut serta Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan barisan pimpinan UMNO yang lain.


Parti-parti komponen BN turut serta termasuk rakan ta’awun, delegasi PAS Kuala Krai.


Dalam perkembangan lain, Mohamad seterusnya memberitahu agenda yang disuburkan antara parti itu dengan PAS memberi keuntungan kepada semua pihak.


Apatah lagi, tambah beliau masyarakat hari ini masing-masing menyatakan perasaan gembira dengan perkembangan tersebut dan yakin sokongan yang akan diterjemahkan kelak.


“Saya sebutkan sebab saya pergi banyak negeri jelas nampak bahawa kebersamaan telah ada. Kalau dahulu ada kenduri di kampung-kampung ramai juga yang tidak datang… masjid pun kadang-kadang terbelah dua.


“Alhamdulillah dengan agenda yang sedang kita suburkan ini antara UMNO dan PAS, agenda penyatuan ummah nampak jelas sekali bahawa keberuntungannya itu adalah kepada orang ramai. Daripada 75 peratus (UMNO dan PAS)  pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang dulu saya yakin boleh naik lagi,” ujarnya.


Ujarnya lagi jika dulu yang pergi ke sebelah sana (Pakatan Harapan) kerana tidak selesa dengan BN yang pada ketika itu difitnah dengan begitu dahsyat, Insya-Allah lagi 10 hingga 15 peratus akan kembali menjadikan angkanya bertambah besar dan inilah yang menjadi mimpi ngeri kepada PH hari ini.- MediaUMNO


Norlida Ishak Shop