Expired : 18.06.18

UMNO Dan Pas Sepentas Tolak Ratifikasi ICERD, Bermula Di Pasir Salak


 


KUALA LUMPUR, 9 Nov – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini mengambil ketetapan menolak sepenuhnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Oleh itu, menurut Ahmad Zahid, UMNO meminta kerajaan menghentikan langkah-langkah yang akan menjejaskan pembinaan masyarakat yang diwujudkan selama ini melalui persefahaman bersama kerana ratifikasi ICERD ini bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.


“Sebagai program pertama, UMNO pusat mengambil alih semua program-program utama menentang ratifikasi ICERD ini dan kita akan mulakan program ini bersama dengan Perhubungan UMNO Perak, tuan rumah oleh UMNO Pasir Salak pada 17 haribulan ini.


“Saya sendiri akan berucap sepentas dengan presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan kedua-dua parti secara jelas menolak ratifikasi ICERD ini.


“Dan kami juga telah meminta Pemuda UMNO agar bersama dengan Pemuda Pas terus bergerak ke negeri-negeri untuk melakukan program di peringkat Pemuda. Ini adalah bagi melaksanakan terjemahan penolakan kami di peringkat UMNO keseluruhannya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.


Dalam perkembangan semasa, Ahmad Zahid turut mengatakan mesyuarat telah membincangkan beberapa perkara terutamanya mengenai bajet gagasan pembangkang.


“Belanjawan 2019 yang menjadi bajet gagasan pembangkang dikenali sebagai ‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’ dan bajet ini akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin) yang telah dipersetujui oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk membentangkannya bagi pihak gagasan pembangkang,” ujarnya.


Begitu juga katanya lagi, UMNO melahirkan perasaan kecewa mengenai penarafan yang terbaharu terhadap Petronas daripada agensi antarabangsa, Moody’s.


“Kami juga telah membincangkan perkara ini dengan mendalam terutama juga mengenai kedudukan Petronas yang telah diturunkan ‘out look’nya kepada negatif daripada positif.


“Dan ‘out look’ ini merupakan ‘the future outlook’ Petronas di mana kita amat bersedih di atas penggunaan dana rizab Petronas untuk menampung defisit bajet (Bajet Kerajaan Pakatan Harapan) sebanyak RM30 Bilion tambahan daripada jumlah dividen yang telah diberikan setiap tahun terdahulu sebanyak kira-kira RM20 Bilion.


“Ini dikhuatiri akan mengurangkan pengukuhan dana simpanan yang selama ini dipegang oleh Petronas,” jelasnya. – Media UMNO


Norlida Ishak Shop