Expired : 18.06.18

UMNO Hargai Komitmen Dan Keikhlasan PAS Sokong Calon BN

TANJUNG PIAI, 7 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghargai komitmen dan keikhlasan PAS menyokong calon Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.


Kata Pengerusi BN itu, ia sebagai tanda solidariti Muafakat Nasional yang dianjurkan oleh UMNO dan PAS yang jelas mengutamakan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.


“Kita berkumpul adalah sebagai manifestasi bahawa Muafakat Nasional di bawah Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera di mana PAS dan UMNO bergabung jelas tidak mengenepikan agama lain dan agama lain, malah jelas dari ucapan daripada Presiden PAS bahawa PAS mendukung calon BN yang diwakili oleh MCA.


“Yang paling menyejukkan hati kita biarpun ada seorang calon dari parti Berjasa, di dalam Gagasan Sejahtera, Setiausaha Agung PAS mengeluarkan kenyataan bagi pihak presiden PAS bahawa PAS tidak mengiktiraf calon Berjasa itu dan tidak memberikan dokongannya.


“Inilah keikhlasan PAS,” ujarnya dalam Ceramah Perdana malam tadi di bilik gerakan BN Kukup, di sini.


Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohamad selaku pengarah PRK dan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.


Terdahulu ketika berucap, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya berjanji akan menyokong calon BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.


Dr Ahmad Zahid turut mengulas mengenai tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering menguatkuasa undang-undang secara berpilih terutama lawan politik mereka.


“Ini kerajaan ‘double standard’, undang-undang seolah-olah dibuat untuk mempertahankan mereka. Undang-undang ini berat sebelah hanya kepada musuh politik termasuklah diri saya.


“Kalau soal perundangan diketepikan dan hanya untuk kepentingan mereka, 16 November nanti sebagai manifestasi bahawa jika Wee Jeck Seng menang, ertinya kita menolak cara mereka melaksanakan sistem perundangan di negara kita ini,” ujarnya lagi.


Juga disentuh mengenai kerajaan PH yang tidak mempedulikan kebajikan dan kepentingan rakyat, tidak menunaikan janji, tidak pandai mengurus ekonomi negara dan ketidakupayaan menteri kabinet menjalankan tugas selain menasihati calon PH agar lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan. – UMNO ONLINE



Norlida Ishak Shop