Expired : 18.06.18

UMNO Johor akur titah Sultan supaya DUN tak dibubar


JOHOR BAHRU, 7 Syaaban 1440H, Sabtu – UMNO Johor hari ini akur dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak dibubarkan bagi mengelak berlakunya krisis Perlembagaan.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika beliau menghadap baginda di Istana Pasir Pelangi, di sini, 11 pagi tadi.


“Saya menerima titah Tuanku bahawa pembubaran dewan ini (DUN Johor) pada waktu ini boleh menimbulkan spekulasi yang mengatakan akan berlakunya krisis Perlembagaan.


“Jadi, untuk mengelak dan membuktikan bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 sebagai undang-undang yang lengkap, maka, pembubaran dewan itu pada waktu ini, sekiranya tidak dilakukan akan dapat mengelak daripada berlakunya krisis Perlembagaan,” katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.


Hasni yang juga Ketua Pembangkang pada Rabu lalu dilaporkan sebagai berkata, UMNO Johor akan mencadangkan kepada Sultan Ibrahim supaya membubarkan DUN Johor bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.


Dalam pada itu, Hasni berkata, dalam pertemuan selama sejam dengan Sultan Ibrahim itu, baginda turut menitahkan beliau supaya memastikan anggota UMNO di negeri ini memahami dengan mendalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.


“Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak mahu rakyat terkeliru apabila adanya pihak yang membuat pelbagai interpretasi sebagai contoh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor ini sekiranya terdapat sebarang pertikaian, maka, Perlembagaan Persekutuan menggantikan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya.


Hasni berkata, beliau akan memberi peluang kepada Menteri Besar baharu yang akan dilantik untuk memikul tugas, namun, pada masa sama, tidak akan berhenti menuntut kerajaan negeri dalam melaksanakan konsep semak dan imbang sekali gus berharap Menteri Besar baharu lebih bersifat terbuka dalam menterjemah pengiktirafan kepada pembangkang.


“Perjumpaan saya dengan Sultan Johor tadi berjalan dengan baik. Peralihan kepimpinan Menteri Besar juga berjalan dengan baik. Selaku Ketua Pembangkang, suasana dan keadaan seperti ini amat kita alu-alukan. Kita tidak boleh lengah soal pelantikan dan apa juga tindakan hendaklah meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu,” katanya. – Bernama


The post UMNO Johor akur titah Sultan supaya DUN tak dibubar appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop