Expired : 18.06.18

UMNO Siswa Harap KPT Selaraskan Polisi Tetap Di IPT

KUALA LUMPUR, 29 Mei – UMNOSiswa Malaysia hari ini mendesak agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyelaraskan polisi tetap untuk memastikan pihak universiti awam mahupun swasta mengurangkan beban yuran yang dikenakan terhadap mahasiswa IPT masing – masing.


Ketua Penerangannya, Iman Norhizam berkata walaupun diketahui bahawa pihak universiti mempunyai kuasa untuk menentukan yuran di IPT masing – masing namun, penyelarasan ini amat penting untuk kemaslahatan mahasiswa itu sendiri.


“Langkah yang diambil sesetengah IPT seperti UiTM yang memberikan bantuan kewangan untuk membeli kuota ‘internet’, wajar diberikan perhatian. Perkara ini menyokong kenyataan MPPK yang juga mendorong pihak IPT untuk bantu meringankan beban mahasiswa.


“Di samping itu, semua ini merupakan hujah yang turut menyokong bahawa infrastruktur di IPT juga tidak digunakan oleh mahasiswa sepenuhnya walaupun membayar yuran penuh untuk semester,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Katanya lagi mahasiswa perlu terus berusaha dalam menuntut ilmu dan mengikuti pembelajaran yang digariskan oleh IPT masing – masing dan pihak IPT serta kementerian perlu memudahkan cara dan ringankan bebanan terhadap mahasiswa demi mencapai hasil yang terbaik.


“Akhir sekali, UMNOSISWA menyeru semua yang terlibat untuk berusaha mencapai hasil yang terbaik daripada keadaan yang melanda ini.


“Wabak Pandemik COVID-19 telah menjejaskan setiap lapisan masyarakat terutamanya bagi golongan B40 dan M40. Dimana majoriti mahasiswa juga merupakan daripada golongan tersebut.


“Disebabkan keadaan ini, ia telah meletakkan mahasiswa dalam situasi norma baharu iaitu dalam pembelajaran jarak jauh di alam maya. Dimana keperluan gajet dan sambungan ‘internet’ yang stabil di kediaman masing – masing,” tambahnya.


Tambahnya lagi mahasiswa merupakan tanggungjawab pihak kementerian untuk dipelihara kebajikan mereka agar kecemerlangan negara dapat dipertingkatkan dan mahasiswa adalah pemacu kemajuan negara.- UMNO Online