Expired : 18.06.18

UMNO Tetap Di Hati Rakyat… Jumlah Cawangan Bertambah, Persidangan Bahagian Lancar

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam berkata UMNO merupakan satu gerakan massa yang mana sentiasa dekat di hati dan mendampingi rakyat.


Sebab itulah ujarnya walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu, parti itu tetap bergerak dan hari ini secara umumnya dapat melihat bagaimana ‘trend’ rakyat yang mula kembali kepada parti berkenaan.


“Menerusi gerakan massa, UMNO sentiasa bergerak daripada dulu hingga sekarang dan ianya tetap menjiwai kehendak rakyat. UMNO ini berada di akar umbi dan boleh dikatakan semua kampung ada… kalau kita lihat satu kampung itu ada dua hingga tiga cawangan UMNO.


“Ini bermakna ada pimpinan kalangan cawangan, ada pimpinan dikalangan Wanita, Pemuda dan Puteri. Bermakna ianya lengkap sehingga ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), sehinggalah ke peringkat bahagian, seterusnya negeri dan juga pusat contohnya,” katanya kepada UMNO-Online.


Tambah beliau lagi, sebab itulah tidak pelik dan bukan satu perkara baharu apabila UMNO tetap meneruskan khidmat kepada rakyat walaupun sudah tidak lagi berkuasa.



“Contoh bilangan cawangan di Terengganu ini 1,042 dahulu, namun selepas kalah hari ini juga ada peningkatan. Siapakah yang mengatakan UMNO sudah tidak relevan dan UMNO tidak nampak sambutan?


“Hari ini sudah menjadi 1,058 cawangan bermakna ada peningkatan cawangan sebanyak 15 cawangan dengan jumlah bilangan ahli baru sebanyak 697 ahli. Bermakna ini sambutan walaupun ada segelintir di kalangan kita yang dalam keadaan apabila kita kalah sebelum ini, mungkin jati dirinya kurang dan mungkin melihat sudut politik dalam keadaan berbeza maka beralih arah. Terserahlah kepada mereka dan fikirlah apa yang mereka lalui hari ini,” ujarnya.


Tegas beliau UMNO negeri itu sendiri menampakkan peningkatan cawangan dan keahlian walaupun hari ini parti itu tidak lagi menjadi kerajaan.


“Apabila berlaku kekalahan pada PRU yang lalu menjadi satu pengajaran balik kepada kita. Dan rakyat sudah terasa… kalau dulunya macam-macam faedah yang diperolehi menerusi hubungan yang ada untuk disampaikan kepada pemimpin atasan, namun hari ini ianya tidak berlaku seperti dahulu.


“Jadi rakyat menuntut supaya kuasa kerajaan ini kembali semula kepada UMNO dan BN. Sebabnya UMNO memahami dan satu-satunya parti yang kepimpinannya berada dekat dengan rakyat. Daripada akar umbi hinggalah keperingkat tertinggi,” tegasnya.


Tambahnya lagi persidangan bahagian Dungun yang telah diadakan pada 22 Jun lalu juga memperlihatkan bagaimana sokongan dan komitmen akar umbi masih membanggakan.


“Sitem yang kita amalkan menerusi UMNO jauh berbeza, kita amalkan mesyuarat di peringkat cawangan, sambutannya meriah dan sampai ke sanubari rakyat peringkat bawah. Di peringkat bahagian persidangan UMNO bahagian Dungun yang dirasmikan oleh Datuk Mahadzir Khalid pula memperlihatkan 700 lebih perwakilan yang hadir dan ini merupakan satu jumlah yang cukup baik.


“Insya-Allah segala apa yang berlaku ini menjadi satu pengajaran kepada kita dan kekalahan itu memberi satu tauladan supaya kita melihat sedalam-dalamnya dan rakyat hari ini pun sudah sedar malah kita dapat melihat menerusi beberapa siri pilihan raya kecil yang berlaku sejak kebelakangan ini. Peningkatan sokongan rakyat beralih kepada kita,” ujarnya lagi. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop