Expired : 18.06.18

United mahu Ighalo kekal di Old Trafford

MANCHESTER United dilaporkan sedia menukar status pemain pinjaman, Odion Ighalo kepada perpindahan kekal selepas penyerang itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama kelab musim ini.


Tempoh pinjaman Ighalo berakhir Mei depan bermakna dia boleh meninggalkan Old Trafford sebelum musim berakhir. Perpindahannya mungkin dilanjutkan bagi membolehkan Ighalo beraksi sehingga akhir musim kempen United yang sekarang ini mahu memastikan dia kekal sehingga selepas musim panas.


Menurut laporan The Mail, United bakal membayar £15 juta (RM77 juta) kepada kelab Ighalo, Shanghai Greenland Shenhua bagi menukarnya menjadi perpindahan kekal.


Shanghai pula bersedia melepaskan Ighalo jika menepati dengan harga dipersetujui mereka.


Kelab itu memansuhkan yuran perpindahan selepas United bersetuju membayar hampir separuh daripada gaji Ighalo berjumlah £300,000 (RM1.5 juta) seminggu sepanjang tempoh pinjaman itu.


United terdesak menandatangani Ighalo pada saat akhir jendela perpindahan bagi memperkasakan semula cabaran mereka dalam Liga Perdana.


Bekas penyerang Watford itu beraksi di Liga Super China sejak 2017 sebelum United menawarkan perpindahan impian buat pemain itu.


Ighalo beraksi sebagai pemain bantuan kepada Anthony Martial tetapi semakin menyerlah dengan menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan dan pantas memikat Ole Gunnar Solskjaer yang berhasrat mahu mengekalkan pemain itu di Manchester.


“Dia semakin meningkat dan prestasinya bertambah baik,” kata pengendali United itu.


“Dia mempunyai kualiti yang kami perlukan dan kami perlu semua kualiti itu musim depan – jadi kita tunggu apa tindakan seterusnya.”


Ighalo pula enggan memberi ulasan mengenai situasi kontraknya di tengah-tengah pandemic Covid-19 tetapi menunjukkan petanda positif untuk terus kekal bersama kelab zaman kanak-kanaknya.


Pemain berusia 30 tahun itu berterima kasih kepada Shanghai yang meminjamkannya ke United malah rela gajinya dipotong untuk tujuan itu.


Sejurus ketibaannya di United, dia berkata: “Orang yang kenal saya sama ada di Nigeria dan ketika saya bersama Watford, rakan sepasukan tahu saya sayang United, saya penyokong mereka, jadi dapat beraksi menentang United, emosi itu ada di situ kerana ia impian saya.”