Expired : 18.06.18

UPSI nafi maklumat kanak-kanak diguna untuk penculikan


IPOH, 6 Muharram 1441H, Jumaat – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan dakwaan maklumat kanak-kanak yang didaftar bagi ujian saringan Pintar Berbakat untuk Program Junior Science Camp 2019 digunakan bagi tujuan penculikan.


Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat atau berita palsu.


“Program itu merupakan anjuran GENIUS@Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), UPSI.


“Ada pihak mendakwa maklumat kanak-kanak yang mendaftar menerusi pautan pcis.upsi-ukm.edu.my atau http://pcis.permatapintar.edu.my digunakan bagi tujuan penculikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Dr Mohammad Shatar menegaskan, pautan berkenaan wujud dan sahih dan ia bertujuan mengenal pasti kanak-kanak pintar serta berbakat di negara ini bagi mencetus dan membina minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).


Katanya, kanak-kanak yang terpilih akan mengikuti Junior Science Camp 2019 mulai 23 hingga 25 November depan dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi http://ncdrc.upsi.edu.my.


Ujian saringan telah dibuka secara dalam talian bermula 1 September lepas sehingga 15 Oktober depan kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. – Bernama


The post UPSI nafi maklumat kanak-kanak diguna untuk penculikan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop