Expired : 18.06.18

Usah cepat selesa

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mahu anak buahnya selesa selepas mengutip enam mata daripada dua perlawanan Piala Malaysia setakat ini.


Sebaliknya, beliau mengharapkan aksi konsisten terus dipersembahkan skuad Tok Gajah dalam baki empat perlawanan selepas ini.


“Enam mata bukan bermakna kami sudah boleh bergembira kerana perjalanan masih jauh untuk mengisi tempat ke suku akhir. Oleh itu, fokus utama ialah untuk mengutip mata kesembilan apabila bertemu Sabah di Stadium Likas, pada 17 Ogos ini,” katanya.


Mengulas kemenangan 3-0 ke atas juara bertahan, Perak kelmarin, Dollah memuji disiplin ditunjukkan anak buahnya yang berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi lawan.


“Kemenangan ini juga menghilangkan tekanan dihadapi apabila bertemu Perak yang juga juara bertahan. Oleh itu, pujian harus diberikan kepada pemain yang berjaya memastikan tiga mata menjadi milik pasukan,” katanya.


Pada perlawanan itu, tiga gol Pahang dijaringkan Herold Goulon pada minit ke-40, Saddil Ramdani (m-67) dan Lazarus Kaimbi (m-81).


Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic tetap tenang biarpun skuadnya tewas di tangan Pahang.


GOULON (kiri) menjaringkan satu gol pada perlawanan menentang TFC.



Beliau berkata, kekalahan itu tidak akan menyekat misi The Bos Gaurus untuk mengisi slot suku akhir dengan berbaki empat perlawanan.


“Saya percaya kami akan kembali mencatat kemenangan pada perlawanan ketiga bertemu Pulau Pinang biarpun gagal mencuri mata di Kuantan. Apa yang perlu dilakukan pemain ialah bangkit untuk mengutip tiga mata selepas ini,” katanya.


Mengulas kekalahan di Pahang, Durakovic berkata, jaringan pertama tuan rumah menyentap semangat anak buahnya.


Katanya, tiga gol yang dilepaskan itu berpunca daripada kesilapan sendiri ketika pasukan mahu mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.


“Tapi, saya akui Pahang bermain dengan baik dan serangan balas yang mereka lakukan menghasilkan gol. Kami cuba bangkit pada babak kedua tetapi gagal sebaliknya Pahang menambah dua lagi gol,” katanya.


Norlida Ishak Shop