Expired : 18.06.18

Usah guna BN sebagai tempat lepaskan geram: MT UMNO


BANGI, 25 Rabiulawal 1440H, Isnin – Usul MCA untuk membubarkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk perikatan baharu adalah langkah terdesak bagi menunjukkan strategi politik ala gung-ho mereka tanpa memberi apa-apa momentum.


Menyifatkan tindakan itu sebagai usaha untuk memalukan dan menghina Pengerusi BN, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican berkata, MCA tidak perlu menghina kepimpinan BN, sebaliknya mereka boleh terus keluar tanpa perlu membawa usul untuk membubarkan parti itu.


Malah katanya, kepimpinan MCA juga tidak perlu mengguna BN sebagai tempat untuk melepaskan geram melalui serangan yang berterusan.


“Tidak perlu berterusan menyerang BN. MCA sepatutnya tahu pintu keluar tanpa perlu mengemukakan usul untuk membubarkan BN.


“Ini adalah perlembagaan BN. Kenapa perlu ada usul untuk membubarkan BN,” katanya menulis dalam Facebook beliau, hari ini.


Dalam pada itu, Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, MCA seharusnya lebih matang dalam usaha politik mereka dan sebarang isu berkaitan BN perlu dibincangkan di Dewan Tertinggi BN.


“Helah politik MCA yang memualkan ini perlu dihentikan segera. Kemaskan beg dan sila keluar. Tidak perlu hendak berdrama,” katanya.


Semalam, dalam Perhimpunan Agung MCA ke-65 menyaksikan, perwakilan sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.


Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong dilaporkan berkata, pembubaran itu dapat memberi ruang kepada setiap parti untuk membuat penilaian dan transformasi.


“Kita amat yakin kerjasama bersandarkan perpaduan erat dan ikhlas adalah batu asas kepada pembangunan negara namun setelah sekian lama memerintah BN telah mengalami kecenderungan kuasa ketara manakala kesemua parti perlukan penghayatan, penilaian semula dan transformasi parti masing-masing.


“Justeru itu, demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana kesefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam transformasi dan bina semula. Apabila ada kesesuaian atau persamaan visi maka perikatan politik boleh diteruskan,” katanya.


The post Usah guna BN sebagai tempat lepaskan geram: MT UMNO appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop