Expired : 18.06.18

Usah kelirukan umat Islam dengan arak tanpa alkohol


PARIT BUNTAR, 11 Zulkaedah 1440H, Ahad – Syarikat pengeluar minuman keras di negara ini diminta tidak mengelirukan pengguna terutama umat Islam dengan mengeluarkan produk minuman atau arak tanpa alkohol.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, pengeluaran produk sedemikian bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah ia satu tindakan tidak baik.


“Menggunakan nama arak tanpa alkohol amat mengelirukan kerana proses penghasilan minuman itu termasuk penyulingan air dibuat dalam kerangka menghasilkan arak (beralkohol).


“Kita tahu ia (pengeluar minuman) syarikat arak, maka walaupun kata (minum) tiada alkohol, tapi ia menimbulkan kekeliruan dan boleh menyebabkan umat Islam menganggap benda itu mereka boleh gunakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat meraikan 207 jemaah haji Parlimen Parit Buntar di sini, hari ini.


Mujahid, yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar, mengulas tular promosi penjualan arak berlabel ‘zero-alcohol’ keluaran sebuah syarikat minum keras di kedai serbaneka.


Sehubungan itu, Mujahid menasihati umat Islam supaya tidak mengambil atau menggunakan sebarang produk yang diragui status halalnya.


Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memuat naik penerangan mengenai isu tersebut bertajuk ‘Alkohol dan Arak’ di laman Facebooknya, semalam.


Menurut Jakim, minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling, adalah haram diminum.


Jakim memetik hukum haram itu berdasarkan sumber daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. – Bernama


The post Usah kelirukan umat Islam dengan arak tanpa alkohol appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop