Expired : 18.06.18

Usah politikkan isu peletakan jawatan Agong: Rais Yatim


KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1440H, Rabu – Rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak sekali-kali memperlekeh atau merendahkan martabat Institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja, kerana ia adalah tonggak kedaulatan Malaysia.


Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk menjadi jaguh dalam perkara ini.


Katanya, peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 tidak wajar dipolitikkan selain semua pihak perlu lebih prihatin dan cermat dalam sebarang tindakan supaya tidak menjejaskan institusi beraja serta nama negara.


Jangan juga ada pihak cuba merendahkan martabat baginda kerana jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai yang tertinggi dan istimewa bagi Malaysia.


“Saya dapati semua urusan dalam peristiwa ini (peletakan jawatan baginda) dalam keadaan teratur di sisi Perlembagaan. Tidak perlu untuk mana-mana pihak cuba menjuarakan sesuatu isu jauh sekali merendahkan martabat Tuanku di media sosial.


“Namun begitu, terdapat mereka yang sengaja melahirkan pandangan tidak membina dan sekali-kali tidak menyumbang kepada situasi keharmonian negara. Tindakan tegas wajar diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.


Mengulas lanjut, Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata, dalam usaha mengekang perkara yang disifatkan tidak bermoral itu, MCMC boleh mengambil tindakan khas di bawah seksyen-seksyen berkaitan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


“Ia terpulang pada kementerian untuk menggunapakai mana-mana seksyen yang sesuai yang penting perkara ini dapat dibanteras dan diselesaikan. Kita mesti tegas dalam perkara ini dengan mengenakan tindakan undang-undang lebih-lebih lagi dalam era dunia siber hari ini.


“Perbuatan bersifat provokasi apatah lagi menghina Yang di-Pertuan Agong sepatutnya dikawal di peringkat pencegahan dengan memantau laman sesawang atau halaman yang bersifat menghasut dan memecahbelahkan masyarakat. Kita perlu buktikan kepada rakyat dan negara termasuk dunia luar bahawa kita tegas dalam soal ini,” katanya. – Bernama


The post Usah politikkan isu peletakan jawatan Agong: Rais Yatim appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop