Expired : 18.06.18

Usahawan kecil S’gor bakal terima pinjaman hujung Januari

Bayaran pinjaman mikro Hijrah Selangor akan diselesaikan hujung bulan ini, kata Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman.


Katanya, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengarahkan supaya pembayaran itu disegerakan susulan aduan daripada usahawan berhubung kelewatan pembayaran skim pinjaman itu.


“Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan pengeluaran bayaran pembiayaan bagi permohonan yang tertangguh akan diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung Januari 2019.


“Kerajaan negeri melalui perlaksanaan mikrokredit yang dilaksanakan Hijrah Selangor tetap komited dalam pembangunan usahawan negeri Selangor terutama sekali dalam membantu peniaga kecil dan dalam menangani isu kemiskinan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Kelmarin kira-kira 15 individu mewakili 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara mendesak kerajaan Selangor menyegerakan pembayaran pinjaman Hijrah Selangor.


Wakil kumpulan itu, Presiden Usahawan Kuala Lumpur, Shazlan Bashar berkata kelewatan mengaturkan bayaran pinjaman itu berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 selesai pada Mei tahun lepas, walaupun pinjaman mereka telah diluluskan.


Norlida Ishak Shop