Expired : 18.06.18

Usul Percaya: PAS mahu Tun M kekal PM hingga akhir penggal

BANGI, 15 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Keputusan PAS untuk mengemukakan ‘Usul Percaya’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah demi mempertegaskan pendirian asal parti itu yang mahu beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga ke akhir penggal.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi menegaskan, pendirian PAS itu adalah kerana mengambil kira soal kepentingan rakyat dan negara. 


“Posisi perdana menteri adalah satu posisi yang sangat penting dan signifikan untuk menjamin kestabilan politik, ekonomi dan juga sosial negara.


“Terlebih utama, bagi nilaian PAS mutakhir ini ialah berkait dengan kepentingan Islam dan umatnya jua termasuk kedudukan orang Melayu sebagai Bumiputera. 


“Tolak campur bahagi darab, PAS memutuskan untuk mengemukakan sokongan penuh kepada Tun M selaku Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Semalam, Ahli-Ahli Parlimen PAS dilaporkan, bakal mengemukakan Usul Percaya dalam Persidangan Parlimen akan datang bagi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).


Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kesepakatan itu dicapai dan dipersetujui Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam mesyuarat bulanan yang berlangsung di Pejabat Agung PAS, semalam.


Usul Percaya dibawa oleh PAS itu dilihat satu usaha untuk meredakan ketidakstabilan politik negara yang dilihat mengganggu perdana menteri menjalankan tugasnya.


Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, Usul Percaya adalah usaha yang sangat perlu dilakukan sekarang setelah PAS menilai dan membaca dengan teliti perkembangan politik semasa juga menelaah pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH).


The post Usul Percaya: PAS mahu Tun M kekal PM hingga akhir penggal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.