Expired : 18.06.18

Utamakan Penyatuan UMNO-PAS, Biar Peringkat Tertinggi Putuskan Soal Kerusi

REMBAU, 13 Jul – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan membidas mereka yang ‘sibuk’ berkaitan pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sedangkan fokus kepada pengukuhan lebih utama.


Ujar beliau, isu ini harus dibiarkan kepada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk diselesaikan.


“Jangan orang yang tak tentu fasal cakap pasal kerusi. Biarlah isu ini ditentukan parti dengan parti… biar pemimpin tertinggi parti duduk bersama berbincang.


“Bak kata sikit boleh menang, kalah buat apa… sikit sama sikit janji kita menang. Saya faham ini akan jadi isu di semua negeri, jadi kita mesti ada formula dan resepi tetapi bukan secara menyeluruh sebaliknya mengikut negeri kerana yang utama sekarang adalah pengukuhan.


“Contohnya Kedah dengan formulanya, Negeri Sembilan dengan formulanya, untuk kita pastikan tujuan kita iaitu nak menang pilihan raya dan sudah pasti mesti ada pengorbanan yang harus dilakukan oleh semua pihak,” ujar beliau kepada media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Rembau di sini hari ini.


Sementara itu, bercakap dalam ucapan perasmiannya jelas Mohamad, UMNO harus terus bangun sebagai sebuah parti yang pernah mentadbir negara ini selama enam dekad.



“Walau kalah tapi kita kena lihat kepada kebaikan, jangan lihat masalah sebagai masalah sebab ia akan menyebabkan kita mempunyai pemikiran yang bermasalah.


“Apa yang berlaku adalah sesuatu kehendak untuk melihat kita bangkit semula lepas kita berasa selesa sangat, hikmah Allah datang dalam pelbagai bentuk.


“Maka ambil jalan pemikiran kalahnya BN dan UMNO adalah satu hikmah untuk kita bersihkan diri dan melihat semula perjalanan perjuangan di mana patut kita berada dan apa perlu dilakukan,” terang beliau.


Tambah Mohamad, walaupun benteng parti telah runtuh setelah 70 tahun terbina namun itu bukan bermakna semua pihak harus terus berduka.


“Kita kena bangun dan bina semula benteng. Benteng lama sudah runtuh dilanggar tsunami jadi kita bina benteng baru demi masa depan anak cucu cicit kita. Jangan kita lihat bila batu bata bersepah, kita pun bersepah-sepah,” ujar beliau. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop