Expired : 18.06.18

UTM Berkongsi Kepakaran Dalam Penilaian Untuk Pengiktirafan Mersing Sebagai Geopark Kebangsaan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menjadi pakar rujuk apabila menjadi sebahagian daripada pasukan untuk penilaian Daerah Mersing sebagai Geopark Kebangsaan.


Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM, Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan Mersing Geopark yang bertanggungjawab dalam menyediakan dossier dan persediaan untuk pencalonan Mersing Geopark sebagai Geopark Kebangsaan, penyelidikan geotapak, biotapak dan tapak budaya, pendidikan awam dan pembangunan geotrail.


Jawatankuasa ini turut terdiri daripada pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Johor, Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia.


Prof. Dr. Edy Tonnizam berkata, daerah Mersing bakal dijadikan tapak Geopark Kebangsaan yang akan menjadikan daerah tersebut satu destinasi pelancongan terkemuka negara dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat melalui inisiatif pembangunan geotapak, memupuk semangat cintakan wilayah sendiri serta pembangunan sosio ekonomi melalui geopelancongan.


Menurut beliau, geopelancongan merupakan produk baru berinovasi memperkenalkan landskap geologi kepada masyarakat berasaskan pelancongan ilmu dan rekreasi.


“Mersing mempunyai warisan geodiversiti bernilai antarabangsa kerana ianya tapak lingkaran gunung berapi kuno berusia kira-kira 300 juta tahun yang lalu, mempunyai warisan kebudayaan dan juga terdapat banyak kawasan tarikan pelancong iaitu pulau-pulau berdekatan.


Mersing juga merupakan daratan terawal muncul di Nusantara yang selanjutnya mencetus landskap daratan di rantau ini.


Oleh itu berdasarkan ciri-ciri di atas, Mersing berpotensi tinggi untuk menjadi Geopark Kebangsaan,” kata beliau.


Mersing merupakan projek ketiga selepas kejayaan mewujudkan dua geopark kebangsaan iaitu Jerai, Kedah dan Lembah Kinta, Perak pada tahun 2017.


Menurut beliau, Mersing telah selesai menjalani misi penilaian oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang diwakili sekumpulan pakar dari Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan pada Disember lalu.


Misi penilaian ini ialah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan Warisan Geologi Malaysia dengan kerjasama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bagi menjayakan agenda pembangunan lestari wilayah.


Misi penilaian berlangsung selama tiga hari iaitu pada 22 – 24 Disember 2018. Dr Dana Badang, pegawai geologi JMG-Sarawak dan Azmil Munif, Pengurus Langkawi UNESCO Global Geopark telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab ini.


Mereka mewakili Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan dan mempunyai kepakaran dalam aspek geowarisan dan pengurusan geopark.


Tugas utama misi penilaian ialah untuk memastikan Daerah Mersing telah bersedia menjadi geopark kebangsaan dan mencadangkan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam masa empat tahun akan datang.


“Dalam misi penilaian ini, kita telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Pejabat Perhutanan, Perbadanan Taman Negara Negeri Johor, Pelancongan Johor, Polis Diraja Malaysia Mersing dan Komuniti setempat.


Hari pertama penilai dibawa ke beberapa geotapak utama iaitu di Tanjung Kempit, Tanjung Penyabung dan Pulau Mawar. Ketiga-tiga geotapak ini menyimpan rekod sejarah perkembangan Bumi penting sejak berusia 330 juta tahun lampau.


Di Tanjung Penyabung umpamanya, pada zaman tersebut berlaku letusan volkano yang dahsyat. Apa yang berlaku di Anak Krakatoa, Indonesia sekarang, berlaku di Mersing 300 juta tahun lampau.


Pada hari kedua, penilai dibawa ke Pulau Sibu, Tanjung Leman, Kg Bahagia dan Kg Mersing Kanan. Pulau Sibu ialah pulau pelancongan dan suaka Dugong dan secara keseluruhannya pulai ini terbentuk daripada batuan letusan volcano.


Jika dibangunkan geotrail, ramai pengunjung dapat menikmati keindahan alam sambil mempelajari sejarah letusan volkano yang terawal di Asia Tenggara dan keunikan kepelbagaian biologi marin,” tambah Prof. Edy.


Lawatan ke Kg Bahagia dan Kg Mersing Kanan pula menampilkan aspek kekayaan budaya dan seni masyarakat Mersing. Kampung ini telah dihuni oleh nelayan pantai sejak turun temurun dan membina tradisi tersendiri.


Di Kg Bahagia mereka masih mengamalkan Tarian Zapin dan Ghazal Pulau, sementara di Kg Mersing Kanan, Tok Guru Generasi Kelima Pak Mat Samurai membuka gelanggang bagi mengekalkan Seni Buah Pukul Mersing.


Kebanyakan warisan seni bangsa Melayu telah hampir pupus, tetapi di Mersing komunitinya masih berusaha untuk mempertahan dan meraikannya.


“Sekiranya Mersing berjaya dijadikan tapak Geopark Kebangsaan, ia akan membuka lembaran baharu kepada penduduk Mersing, mencipta pekerjaan dan merubah landskap Mersing, menghasilkan pendapatan kepada negeri dengan aspek kelestarian, mengembangkan industri pelancongan melalui peningkatan jumlah pelancong dan dan pendorong kepada pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS),” tambah Prof. Edy.


Prof. Dr. Edy Tonnizam (berdiri paling kiri) bersama Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan Mersing Geopark yang terdiri daripada pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Johor, Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia semasa misi penilaian di Mersing


Norlida Ishak Shop