Expired : 18.06.18

UTM Di Bawah Inisiatif JIVe Turun Padang Bantu Selesai Masalah Sosial di Mersing

Disediakan oleh : Siti Nur Hafizah Binti Soid


Program ‘Town Hall’ Isu Penyalahgunaan Dadah Dan Pelencongan Sosial Daerah Mersing 2019


Isu pelencongan sosial seperti penyalahgunaan dadah merupakan salah satu isu kritikal yang melanda kampung Sri Bahagia, Mersing.


Isu ini telah menarik perhatian DYMM Tuanku permaisuri Johor ketika Baginda Tuanku Pemaisuri berkenan melawat seorang kanak kanak lelaki, arwah Muhammad Shah Danial yang sebelum ini mempunyai kanser ketumbuhan tahap 4 di ke Kampung Sri Bahagia.


Melalui tinjauan Baginda, didapati keluarga kanak kanak tersebut berada dalam linkungan komuniti yang terdedah dengan permasalahan isu penyalahgunaan dadah, hubungan luar nikah serta pelbagai masalah sosial yang lain.


Menyedari permasalahan yang wujud, satu program mengatasinya perlu dilakukan dengan segera bagi menyelesaikan masalah sosial ini daripada berlarutan dan memudaratkan semua pihak.


Sehubungan itu, pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui ketua projek Dr. Ain Naadia Mazlan di bawah penyelarasan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri dengan kerjasama bersama Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Negeri Johor (JASMINE) dan Pejabat Daerah Mersing telah mengambil inisiatif untuk membantu Pejabat Daerah Mersing dengan mengkaji secara lebih mendalam dan terperinci punca permasalahan.


Kajian tersebut diadakan untuk mengenalpasti masalah sosial dan penagihan dadah dalam kalangan komuniti sasaran.


sesi pengumpulan data dan kajian



Program ini juga merupakan salah satu inisiatif Projek Lembah Inovasi Johor atau lebih dikenali dengan nama “Johor Innovation Valley” (JIVe) dan turut disokong oleh Agensi Dadah Kebangsaan dan badan NGO melibatkan program quadruple helix bagi memastikan program berkesan dapat dilaksanakan.


Ia bermula dengan fasa awalan bagi melaksanakan profiling dan mengenalpasti permasalahan sebenar yang wujud.


Pihak penyelidik UTM telah mengadakan dua sesi lawatan kaji selidik bagi mengenalpasti punca masalah sosial dan penagihan dadah yang berlaku di kawasan ini.


Melalui data-data profiling ini dapat memberikan gambaran sebenar serta faktor yang perlu ditangani untuk melaksanakan satu penyelesaian yang tuntas dan berkesan.


Penyelidik UTM membentang hasil dapatan semasa sesi Townhall



Hasil dapatan tersebut telah dibentangkan semasa sesi Townhall Mersing kepada Pengerusi JASMINE iaitu Yang Amat Dihormati Datin Dr Nila Armila Binti Mukdan yang diadakan pada 10 Disember 2019 dan dijangka dapat membangunkan satu kertas cadangan kaedah penyelesaian yang lebih komprehensif.


Sesi Townhall bersama Pengerusi JASMINE iaitu Yang Amat Dihormati Datin Dr Nila Armila Binti Mukdan



Faktor kekangan ekonomi, tahap pendidikan yang rendah, kerjasama penduduk yang perlu dipertingkatkan serta permasalahan dan kekurangan infrastruktur memerlukan satu gerak kerja khusus dan program pembangunan yang mapan perlu dilaksanakan.


Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri, Prof. Madya Dr. Johari Surif berkata program ini merupakan salah satu komitmen UTM dalam membantu masyarakat dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan komuniti setempat dan mengatasi masalah pelencongan isu sosial sesuai dengan slogan ‘University for Society’.


“Saya berharap program ini akan akan dapat mencapai matlamat yang diharapkan bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di Mersing sekian lama.


Sokongan UTM bagi mendepani isu yang dibangkitkan oleh DYMM Tuanku Permaisuri ini adalah selaras dengan kerangka Lembah Inovasi Johor yang berusaha membangunkan Johor dan komunitinya melalui kepakaran universiti,” tambah beliau.


Semoga usaha murni ini akan membantu merealisasikan hasrat negara membangunkan masyarakat dan bersama-sama menggembeling tenaga memastikan hasrat University for Society ini tercapai.


Norlida Ishak Shop