Expired : 18.06.18

UTM Kongsi Rezeki Agih Makanan Percuma Kepada Pelajar

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan inisiatif UTMPrihatin dengan mengadakan agihan makanan percuma kepada pelajar-pelajarnya bagi membantu meringankan beban pelajar.


Ini menunjukkan sikap kepedulian yang tinggi warga UTM agar sentiasa berkongsi rezeki dengan yang lebih memerlukan terutamanya pelajar.


Dalam tahun ini sahaja, terdapat begitu banyak program agihan makanan percuma diberikan kepada pelajar dalam beberapa siri berbeza oleh pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) universiti menandakan betapa warga UTM sangat prihatin dalam membantu pelajar yang memerlukan.


Antara yang menarik adalah program Free Meal Bento anjuran Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang diadakan pada setiap minggu sepanjang tempoh pengajian.


Menariknya tentang program ini adalah makanan disediakan oleh pelajar sendiri menggunakan dana yang diperolehi melalui sumbangan pensyarah serta staf Sekolah Pendidikan.


Berkonsepkan dari pelajar kepada pelajar, mereka mengaplikasikan hasil pembelajaran mereka melalui Kursus Asas Penyediaan Makanan dan Pemakanan dan memasak di Makmal Masakan di FSSK sebelum makanan yang disediakan diagihkan di sekitar fakulti tersebut.


Program ini merupakan hasil komitmen pensyarah, staf serta pelajar di Sekolah Pendidikan kerana program ‘Free Meal’ ini diadakan setiap minggu manakala program istimewa yang melibatkan pelajar sendiri menyediakan makanan dibuat dua atau tiga kali per semester.


Di samping berkongsi rezeki, pelajar tetap digalakkan dengan amalan kelestarian di mana pelajar perlu bawa bekas makanan sendiri semasa pengagihan dijalankan.


Menurut pensyarah kanan Sekolah Pendidikan, Prof Madya Dr Fatin Aliah Phang binti Abdullah, program tersebut telah dijalankan sejak dari tahun 2016.


Terbaharu pada 9 Disember, 100 pek lagi makanan berupa Nasi Arab dan Kek Marble telah diagihkan kepada pelajar membawa kepada jumlah sehingga kini, kira-kira 5,000 orang pelajar telah mendapat manfaat dari program Free Meal tersebut.


“Matlamat kami ialah agar dapat mencapai Sustainable Development Goals (SDG) iaitu matlamat 1. Tiada Kemiskinan, 2. Tiada Kelaparan dan 13. Perubahan Iklim.


Ketiga-tiga ini dapat dicapai dengan inisiatif makanan percuma iaitu matlamat 1 & 2 serta penggunaan bekas makanan sendiri oleh pelajar dapat mengelakkan penggunaan plastik sekali guna untuk mencapai matlamat 13,” kata beliau.


Tambah beliau, di Sekolah Pendidikan juga terdapat ‘Free Market’ iaitu sumbangan alat tulis percuma kepada pelajar.


Selain Sekolah Pendidikan, Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) turut berkongsi inisiatif yang sama dan turut mengagihkan makanan percuma kepada pelajar.


Penyelaras Program yang diberi nama ‘Nasi Bajet M50 SKA’, Dr. Abdullah Zawawi Awang berkata program yang diusahakan oleh staf SKA itu dijalankan sepanjang semester pengajian 2018/2019 pada setiap hari Selasa.


“Di bawah projek Nasi Bajet M50 ini, para pelajar boleh mengambil makanan yang disediakan di bahagian pantri SKA bermula jam 12.30 tengah hari sehinggalah selesai.


Makanan yang disediakan adalah dalam bentuk nasi putih disediakan secara berasingan dengan lauk kari, kurma, asam pedas dan kuah masak lemak beserta dengan lauk sayur. Hidangan ini berupaya untuk memberikan faedah kepada 120 hingga 130 orang pelajar,” katanya lagi.


Anggaran kos bagi menyediakan hidangan tersebut adalah RM3.00 seorang dan kos ini telah ditampung oleh kakitangan akademik dan pentadbiran SKA.


“Selaras dengan polisi semasa universiti yang mengutamakan dasar kampus lestari, kami tidak menggunakan sebarang bekas plastik dalam menyediakan hidangan percuma ini.


Mana-mana mahasiswa yang berminat untuk mendapatkan hidangan ini dikehendaki untuk membawa bekas makanan sendiri. Pihak kami hanya menyediakan kertas pembungkus dan juga plastik guna semula bagi menyokong dasar kelestarian kampus ini,” katanya lagi.


Selain SKA, pejabat HEK juga mengamalkan pendekatan yang serupa apabila mengambil tindakan yang sama mengagihkan makanan percuma kepada mahasiswa universiti ini pada 28 November yang lalu.


Sebanyak 100 bungkus Nasi Ambeng telah diagihkan kakitangan HEK kepada mahasiswa di perkarangan Masjid Sultan Ismail pada jam 12.00 tengah hari.


Timbalan Pengarah (Pengurusan Media dan Komunikasi Korporat) HEK, Prof. Madya Dr. Hadina Habil berkata pengagihan makanan itu adalah sebagai tanda sokongan PTJ tersebut kepada golongan B40.


“Golongan mahasiswa dari keluarga B40 amat terkesan dengan kenaikan kos hidup termasuklah dalam soal membeli makanan.


Walaupun tidaklah dapat membantu secara keseluruhannya tetapi sekurang-kurangnya kami meringankan beban golongan ini dalam meneruskan kehidupan sebagai pelajar dalam kampus ini,” katanya.


Dekan FSSK, Prof Dr Zaidatun Tasir semasa sesi agihan makanan percuma ‘Program Free Meal Bento’ di Sekolah Pendidikan



Pelajar-pelajar yang terlibat dalam penyediaan makanan mengagihkan makanan kepada rakan pelajar semasa sesi agihan makanan percuma ‘Program Free Meal Bento’ di Sekolah Pendidikan



Pelajar-pelajar semasa sesi penyediaan makanan



Antara sumbangan makanan kering oleh pelbagai pihak di SKA untuk digunakan bagi menyediakan makanan kepada pelajar melalui #NasiBajetM50




Mahasiswa Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) mencedok lauk yang disediakan di bawah Projek Nasi Bajet M50.



Mahasiswa SKA menikmati juadah makanan tengahari yang diperolehi melalui Projek Nasi Bajet M50.



Para mahasiswa SKA beratur panjang bagi mendapatkan juadah tengahari percuma di bawah Projek Nasi Bajet M50 anjuran Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) UTM.



Mahasiswa beratur bagi mendapatkan makanan percuma yang diagihkan oleh kakitangan HEK.



Kakitangan HEK mengagihkan makanan percuma kepada mahasiswa UTM di perkarangan Masjid Sultan Ismail.



Antara inisiatif dari PTJ lain



Norlida Ishak Shop