Expired : 18.06.18

UTM PRK SESI 2018/2019 – “Oleh Pelajar, Daripada Pelajar dan Untuk Pelajar”

JOHOR BAHRU , 25 Okt. – Pilhan Raya Kampus (PRK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Sesi 2018/2019 telah dijalankan hari ini dengan menyaksikan pelajar di Kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur turun mengundi bagi memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).


PRK kali ini adalah buat pertama kalinya melibatkan pelajar sebagai petugas dan pemerhati  dan juga diuruskan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk oleh Pengurusan Universiti.


Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai jabatan di UTM ini dibentuk seperti mana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) bagi membantu mengurus dan memantau perjalanan pilihanraya mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak Universiti.


Tujuan penglibatan pelajar adalah bagi mendedahkan dan menyediakan mereka dengan skil kepimpinan dan pengurusan.


Inisiatif ini juga dilaksanakan bagi mewujudkan sinergi antara pihak Universiti dan pelajar dalam pembentukan sahsiah dan pembangunan pelajar.


Usaha ini dilihat dapat menyuburkan semangat demokrasi dalam pilihan raya kampus bagi memilih pemimpin pelajar yang berwibawa dan mampu membawa perubahan kepimpinan mahasiswa ke arah jati diri yang tinggi dengan kepimpinan global.


Pada masa yang sama PRK kali ini turut menyaksikan pertambahan bilangan pengundi kerana semua pelajar berdaftar di UTM, termasuk pelajar antarabangsa dan pelajar pasca siswazah adalah layak mengundi berbeza sebelum ini di mana pengundi yang layak hanyalah melibatkan pelajar di peringkat ijazah prasiswazah dan tempatan sahaja.


Dalam PRK kali ini, seramai lebih 8 ribu pelajar keluar mengundi bagi memilih calon yang akan menjadi wakil mereka.


Menurut Ketua Urus Setia Pilihan Raya Kampus UTM, Hajjah Najmah Shamsuddin, pada pilihan raya kali ini melibatkan pertandingan 13 kerusi umum dan 17 Kerusi fakulti/sekolah.


Seramai 47 calon bertanding yang melibatkan 24 calon kerusi umum dan 23 calon untuk kerusi fakulti/sekolah.


Rana Tahir Mehmood, satu-satunya calon pelajar antarabangsa dari Pakistan berkata beliau bertanding untuk kebajikan pelajar antarabangsa.


Menurutnya beliau berbangga dengan peluang sama rata yang diberikan oleh pihak Universiti untuk turut mendengar suara mereka. Beliau turut berkongsi teknik berkempen secara berhadapan, di mana beliau tidak hanya menumpukan pelajar antarabangsa malah pelajar tempatan juga.


Keputusan pilihan raya diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya PRK UTM Sesi 2018/2019, Encik Abdul Razib bin Haji Shahuddin pada sekitar pukul 9:30 malam.


PRK kali ini menyaksikan kemenangan didominasi oleh wakil prasiswazah apabila memenangi kesemua kerusi umum dan fakulti/sekolah. PRK kali ini juga turut menyaksikan lapan kerusi adalah mendapat menang tanpa bertanding.


Hajjah Najmah berkata, proses penamaan calon telah diadakan pada 22 Oktober dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Urus Setia Pilihan Raya yang dilantik oleh UTM.


Beliau berkata, tempoh bagi calon berkempen adalah mulai 22 Oktober, 12 tengah malam sehingga 24 Oktober, 12 tengah malam di seluruh fakulti dan kolej kediaman terutama di Speaker’s Corner.


Waktu mengundi adalah bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 3:00 petang di 15 pusat mengundi iaitu di semua fakulti/sekolah.


Proses pengiraan undi dilakukan di Dewan Sultan Iskandar bagi Kampus Johor Bahru dan di Bilik Ilmuan 3, Anjung Menara Razak bagi Kampus Kuala Lumpur.


Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar ketika dihubungi mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Beliau juga merakamkan tahniah kepada pelajar yang menjadi petugas pada PRK UTM kali ini.


“Saya percaya penglibatan pelajar dalam PRK ini dengan penuh semangat, beradab dan berhikmah tentunya amat bernilai dalam membentuk jati diri dan keperibadian untuk menjadi insan yang lebih cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan sebagai seorang warganegara yang cakna kepada masa depan bangsa dan negara serta kesejahteraan sejagat,” katanya.


Petugas mengagihkan kertas undi dari bilik Urus Setia PRK ke pusat mengundi
Pelajar sedang beratur untuk mengundi
Pelajar tempatan dan antarabangsa sedang membuang undi
Pelajar sedang membuang undi
Pelajar sedang membuang undi
Petugas sedang mengira undi bagi kerusi Umum di Dewan Sultan Iskandar
Pengumuman Rasmi Oleh Pengurus PRK UTM 2018/2019, Encik Abdul Razib
Calon yang menang meraikan kejayaan semasa pengumuman rasmi
Calon-calon bertanding bersorak semasa pengumuman

Norlida Ishak Shop