Expired : 18.06.18

(Video Penuh) Selangor Hanya Perlukan 10 Minit Untuk Bangkit Kecewakan KL 3-2



2.4k


SHARES


Kuala Lumpur: Skuad The City Boy terus mengekalkan rekod kekalahan keenam berturut-turut apabila tewas kepada Selangor 2-3 di Stadium Cheras, malam tadi.


Walaupun Kuala Lumpur mendahului 2-0 pada separuh masa pertama namun kesilapan benteng pertahanan yang gagal mengekang asakan skuad Gergasi Merah terus dihukum untuk memastikan kemenangan pasukan pelawat.


Malah skuad kendalian B Sathianathan harus dipuji apabila bijak mengambil peluang menyumbat tiga gol pada 30 minit terakhir sekali gus meranapkan impian Kuala Lumpur untuk membawa pulang tiga mata penting.


Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah lebih banyak mengatur serangan sebelum Muhammad Syafwan Syahlan berjaya menanduk masuk gol pertama hasil umpanan Zhafri Yahya seawal minit ke lima.


Kesilapan pertahanan import Selangor Taylor Francis George yang gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti terus dihukum apabila Kapten Kuala Lumpur Indra Putra Mahayuddin mudah menendang masuk gol kedua pada minit 37.


Skuad Gergasi Merah berpeluang merapatkan jurang gol pada minit terakhir separuh masa pertama namun dua sepakan percuma yang diambil Sandro Da Silva berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur Mohd Sharbinee Allawee Ramli.


Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah memperlahankan rentak perlawanan sekali gus memberi peluang kepada Selangor untuk mengatur serangan.


Percaturan Sathia yang mengeluarkan Mohd Faiz Mohd Nasir dan menggantikan Mohd Amri Yahyah ternyata memberi kesan kepada corak permainan pasukan pelawat.


Gol yang dinantikan Selangor akhirnya hadir pada minit 65 apabila Gergasi Merah dihadiahkan sepakan penalti selepas Sandro dijatuhkan di kawasan kotak penalti untuk kedudukan 2-1.


Selangor bagaikan mendapat ‘tonik’ apabila pemain tengahnya Syazwan Zainon berjaya menjaringkan gol kedua pada minit 71 selepas menggelecek dua pertahanan lawan.


Penyerang veteran Amri membuktikan dia masih lagi berbisa apabila berjaya menanduk masuk gol ketiga pada minit 77 sekali gus memastikan kemenangan sulung buat Selangor.


Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan sekali gus kemenangan skuad Gergasi Merah memberi sedikt kelegaan kepada pasukan terbabit yang sebelum ini gagal mengutip tiga mata penting.



Post Views: 94




2.4k


SHARES


Norlida Ishak Shop