Expired : 18.06.18

[VIDEO] ‘Petah’ Kuasai Bahasa Isyarat, Adik Qaleesya Buktikan Ia Bukan Hanya Untuk OKU




Pernahkah kita terfikir bagaimana anak yang dilahirkan normal oleh kedua ibu bapa yang pekak akan berkomunikasi sesama mereka? Dalam situasi sebegini, bahasa isyaratlah yang memainkan peranan penting dalam memastikan mereka dapat saling memahami.


Namun sebenarnya, bahasa isyarat bukan hanya terhad kepada mereka yang cacat pendengaran. Malah, kajian telah dilakukan oleh Dr Joseph Garcia pada tahun 1980-an di mana beliau membangunkan idea untuk mengajarkan bahasa isyarat untuk bayi yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran.






Idea ini tercetus setelah mendapati keluarga yang pekak dan bisu mampu berkomunikasi dengan bayi mereka secara begitu berkesan menggunakan bahasa isyarat. Ini kerana, kemahiran motor seseorang bayi berkembang lebih cepat berbanding kemahiran mereka untuk bertutur. Contohnya, anak-anak akan lebih dahulu melambai tangan mereka sebelum menyebut perkataan bye bye.


bahasa isyarat bayi

Foto Kredit: drjosephgarcia.com











Qaleesya Minat Belajar Bahasa Isyarat Sejak 1 Tahun


Tahukah anda, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) merupakan bahasa ibunda dan bahasa isyarat yang khusus bagi golongan pekak di Malaysia. Menurut Akta OKU 2008, telah dinyatakan bahawa BIM adalah bahasa rasmi bagi komuniti pekak di Malaysia.






Menurut ibu Qaleesya, Syzna Sabarudin yang merupakan seorang OKU pekak pendengaran, minat anaknya Qaleesya terhadap Bahasa Isyarat Malaysia telah berputik seawal usianya 1 tahun lagi.


Tambah Puan Syzna lagi, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) adalah bahasa pertama yang adik Qaleesya kuasai sebelum mempelajari bahasa kedua iaitu Bahasa Malaysia pertuturan.


Melalui bahasa isyarat inilah adik Qaleesya mula belajar berkomunikasi. Maka, ia merupakan mekanisme hubungan yang penting bagi memudahkan mereka meluahkan perasaan dan menyampaikan maklumat kepada ibu bapanya yang pekak.


Seperti yang kami lampirkan di bawah ini adalah sebuah video oleh adik Farzana Qaleesya baru berusia 3 tahun yang telah berjaya sepenuhnya menghafal & mengenal huruf A-Z menggunakan BIM.


Si anak ini amat minat untuk belajar dan menampakkan kesungguhannya ketika waktu belajar tanpa dipaksa. Ibunya juga bertambah semangat untuk mengulang berkali-kali tanpa jemu mengajar agar dia dapat memahami. Bak kata ibunya, ia adalah usaha mereka untuk melakukan yang terbaik demi anak tercinta!


Bahasa Isyarat Bukan Hanya Untuk Golongan Pekak


Walaupun bahasa isyarat ini menjadi medium pertuturan utama golongan pekak, namun penting untuk kita fahami bahawa ia juga mudah dan sangat berguna untuk dipelajari oleh orang awam.


Selain memudahkan komunikasi pada waktu-waktu kecemasan, kemahiran dalam bahasa isyarat juga dapat memperluaskan keberkesanan komunikasi, serta membantu memperkembangkan teknologi dengan menghasilkan aplikasi atau alat bantuan mengajar bagi menambah lagi bahan rujukan khusus untuk golongan yang memerlukannya.


Malah, sesetengah syarikat atau agensi turut memberikan elaun khas bagi mereka yang mahir menggunakan bahasa isyarat bagi memudahkan pelanggan OKU untuk berkomunikasi dengan lebih lancar.


Jadi, tak salah kan kalau kita cuba belajar bahasa isyarat sekurang-kurangnya perkataan yang asas. Kalau tak tahu, boleh study sambil melihat telatah adik Qaleesya yang comel melalui Vlognya di SINI.









Related Items:




Norlida Ishak Shop