Expired : 18.06.18

VIDEO | Ribut badai Shah Alam


SHAH ALAM, 3 Rejab 1440H, Ahad – Hujan lebat berserta ribut petir mengakibatkan insiden pokok tumbang di beberapa lokasi di Shah Alam petang tadi.


Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata antara kawasan terjejas adalah Dewan Angsana yang diuruskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Jalan Liku 8/1, Seksyen 8 dan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Kondominum Sri Mahligai di Seksyen 9 dan Seksyen 11.


Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Subang, Kota Anggerik bersama Pasukan Gerak Pantas Bandaraya Shah Alam membantu memotong dan mengalihkan dahan-dahan pokok yang menghalang laluan.


“Kami menerima panggilan kecemasan melalui talian pusat gerakan operasi negeri Selangor pada jam 5.27 petang sebelum menghantar jentera ke lokasi-lokasi terjejas,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.



Kenyataan itu menyebut usaha mengalihkan pokok tumbang itu sedang dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 20 orang.


Ia juga berkata, sebuah kereta Honda ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Seksyen 11, Shah Alam.


“Semua kejadian bagaimanapun tidak membabitkan sebarang jiwa,” katanya.


Sementara itu, beberapa jalan dan lokasi lain termasuk Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dari Setia Alam menghala ke Shah Alam serta di sekitar Taman Botani Negara turut mengalami kejadian pokok tumbang.


Kebanyakan netizen yang tinggal di bandar raya Shah Alam berkongsi gambar dan video ribut berkenaan di laman sosial Facebook.


Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 50 aduan berhubung insiden pokok tumbang di beberapa lokasi di bandar raya itu setakat jam 7.15 malam, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.



Beliau berkata, Unit Bencana Selangor sedang memantau keadaan semasa dan bersedia menyalurkan bantuan kecemasan.
“Bilik Gerakan Pantas MBSA sentiasa memantau keadaan semasa,” katanya dalam catatan menerusi Facebook.


Beliau turut menasihatkan orang awam untuk mengehadkan aktiviti luar dengan mendahulukan keselamatan diri.


Amirudin juga meminta orang ramai menghubungi MBSA di talian 1800-88-4477 sekiranya ada insiden pokok tumbang di kawasan mereka.


Beberapa lokasi dilaporkan terjejas dengan insiden pokok tumbang dalam kejadian ribut petir yang berlaku pukul 5.27 petang antaranya Dewan Angsana yang diuruskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Jalan Liku 8/1, Seksyen 8 dan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Kondominum Sri Mahligai di Seksyen 9 dan Seksyen 11. – Bernama


The post VIDEO | Ribut badai Shah Alam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop