Expired : 18.06.18

Video seks: 2 kali Pejabat Peguam Negara kembalikan kertas siasatan

KERTAS siasatan berhubung penyebaran video hubungan sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan sudah dihantar sebanyak dua kali kepada Pejabat Peguam Negara namun dikembalikan semula kepada pihak polis.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu menyebabkan polis perlu melakukan siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan individu terlibat berulang kali.


“Setelah berbincang dengan pihak Pejabat Peguam Negara telah berikan arahan tertentu untuk mendapatkan keterangan beberapa individu berulang kali.


“Kali terakhir kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada Khamis lalu tetapi dikembalikan semula,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka, Perumahan Blok Melati PDRM, di Setiawangsa, malam tadi.


Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, arahan tertentu daripada pihak Pejabat Peguam Negara menyebabkan siasatan video seks berkenaan terpaksa memakan lebih masa.


“Ini menyebabkan pegawai penyiasat terpaksa pergi balik ke Sandakan dan perkara itu memakan masa sehingga ada pihak yang tidak memahami perkara ini membuat andaian polis sengaja melambat-lambatkan siasatan.


“Sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, kita akan terus melakukan tindakan menahannya semua yang terbabit.


“Malah mereka yang terbabit dalam menyebarkan video lucah hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan,” katanya lagi.


Namun, beliau tidak mengesahkan identiti individu dalam video tersebut.


Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menunggu hasil kajian makmal untuk mengenal pasti sama ada video berkenaan tulen atau sebaliknya.


Pada masa ini polis sudah mengambil keterangan dari saksi berkaitan serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.


Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya terlibat dalam hubungan seks sejenis mendakwa pasangannya ialah Mohamed Azmin selepas satu rakaman video menjadi tular.


Haziq mendakwa rakaman itu dibuat tanpa keizinannya di sebuah bilik hotel di Sandakan ketika berlangsungnya pilihan raya kecil Sandakan.


Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.


Pertubuhan media Australia, SBS News, sebelum ini memetik pakar forensik digital, Kevin Nguyen bahawa video berkenaan tidak disunting, malah tidak ada sebarang pengubahan digital telah dibuat ke atasnya.


The post Video seks: 2 kali Pejabat Peguam Negara kembalikan kertas siasatan appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop