Expired : 18.06.18

Wan Ahmad Najmuddin bersara selepas 4 dekad bersama PDRM


KUALA LUMPUR, 6 Rejab 1440H, Rabu – Setelah mencurahkan khidmat bakti selama 40 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), akhirnya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Kanan Polis.


Beliau memulakan karier bersama PDRM pada 12 Mei 1979 berpangkat Inspektor Percubaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Sarawak sebelum menerima kenaikan pangkat dan memegang beberapa jawatan penting dalam pasukan.


Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau sebelum ini adalah Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri; Setiausaha Polis Malaysia; Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dan Ketua Polis Kontinjen Johor.


Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Wan Ahmad Najmuddin mula menggalas amanah selaku Pengarah JSJ pada 15 September 2017 sebelum kontrak perkhidmatan beliau disambung selama satu tahun oleh kerajaan pada tahun lalu.


Terdahulu di sebelah pagi, Wan Ahmad Najmuddin menyerahkan tugas dan tongkat kuasa Pengarah JSJ kepada Datuk Huzir Mohamed yang akan memangku jawatan itu dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama lebih 700 jemputan.


Turut diadakan, Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSJ di antara penyandangnya, Datin Seri Musalma Mohd Saman dengan Datin Siti Zunaine Mohd Johar sambil disaksikan oleh Pemangku Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Shahriza Saad @ Mansor.


Majlis turut disusuli dengan upacara pemakaian pangkat kepada 14 pegawai kanan dan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 92 warga PDRM.


Kemuncak acara hari ini adalah Majlis Paluan Berundur yang akan diadakan di Dataran Kawad PULAPOL Kuala Lumpur pada sebelah petang sebagai simbolik penghargaan seluruh warga pasukan khas buat Wan Ahmad Najmuddin dan isteri. – PDRM


The post Wan Ahmad Najmuddin bersara selepas 4 dekad bersama PDRM appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop