Expired : 18.06.18

Wan Azizah: Kerajaan PH mahu Sarawak setara dengan Semenanjung

Kerajaan PH mahu Sarawak dimajukan setara dengan semenanjung, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail. — Foto oleh Miera Zulyana
Kerajaan PH mahu Sarawak dimajukan setara dengan semenanjung, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail. — Foto oleh Miera Zulyana

SIBU, 7 Nov — Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan mahu Sarawak dimajukan setara dengan semenanjung, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Sarawak sebuah negeri yang luas dan kaya dengan pelbagai sumber yang potensinya boleh dimanfaatkan untuk kebaikan rakyatnya.



"Inilah yang kami (kerajaan PH) mahu untuk Sarawak. Inilah apa yang kami janjikan kami mahukan perubahan dan keadilan untuk semua," katanya pada majlis makan malam bersama rakyat bersempena lawatan sulungnya di negeri ini sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri, di sini, malam tadi.


Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Anggota Parlimen (MP) Julau Larry Sng, MP Miri Dr Michael Teo, MP Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan MP Lubok Antu Jugah Muyang.



Dr Wan Azizah, yang sebelum itu melawat sebuah rumah panjang dan menghadiri taklimat tentang perkembangan tanaman lada hitam di Julau, Sarikei, berkata walaupun Sarawak agak ketinggalan dari segi kemajuan, beliau kagum dengan rakyatnya yang rajin dan mempunyai kawasan tanah subur yang luas untuk diusahakan.


Beliau berkata adalah penting untuk kerajaan menyediakan infrastruktur perlu dan kemudahan asas termasuk jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.


Katanya kementerian beliau juga akan bekerjasama rapat dengan pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengatasi kelemahan dalam inisiatif E-Kasih bagi penerima yang layak di Sarawak, termasuk menyediakan peruntukan.


Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR mahu anggota parti yang menang dalam pemilihan parti untuk tidak melupakan mereka yang sama-sama berjuang untuk parti.


"Anda perlu berpegang pada nilai-nilai idealisme, integriti, akauntabiliti, benar dan adil," katanya dan menurutnya beliau mahu melihat parti yang kukuh dan tidak berpecah.


PKR Sarawak ialah negeri terakhir akan mengadakan pemilihan pada 10 Nov.


Timbalan perdana menteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini selepas melakukan lawatan kerja sehari di Sarawak. — Bernama


Norlida Ishak Shop