Expired : 18.06.18

Wan Ji mangsa, segera mansuh Akta Hasutan — Syahredzan Johan

9 JULAI — Saya merujuk kepada laporan media bahawa Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah monolak rayuan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin terhadap sabitan dan hukumannya di bawah Akta Hasutan.

Lebih memeranjatkan lagi, dilaporkan juga bahawa Mahkamah Tinggi telah meminda hukuman terhadap Wan Ji kepada satu tahun penjara selepas pihak Pendakwa Raya membuat rayuan silang terhadap hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.


Walaupun Akta Hasutan masih belum dimansuhkan dan masih berkuat kuasa, namun kerajaan perseketuan telah berkali-kali menzahirkan niat untuk memansuhkan Akta tersebut.


Malahan, Pendakwa Raya sendiri telah menarik balik beberapa pertuduhan di bawah akta tersebut sebelum ini, selari dengan dasar kerajaan persekutuan mengenai akta tersebut.


Oleh itu, Pendakwa Raya mesti memberi penjelasan mengapa pihaknya telah membuat rayuan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji, bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan mengenai Akta Hasutan.


Apatah lagi hukuman sembilan bulan penjara yang dikenakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana adalah terlalu berat dan tidak mengikut trend hukuman berkenaan dengan sabitan bawah Akta Hasutan, iaitu menjurus kepada hukuman denda dan bukannya penjara.


Ini tidak bermakna saya bersetuju dengan apa yang diluahkan oleh Wan Ji yang menjadi asas pendakwaan terhadapnya. Tetapi faktor-faktor mitigasi dalam mempertimbangkan hukuman mesti diambilkira dengan sewajarnya.


Saya sedar bahawa sekiranya Parlimen memansuhkan Akta Hasutan sekalipun, ia tidak akan memberi kesan langsung kepada kes Wan Ji kerana pendakwaan dan sabitannya adalah semasa undang-undang tersebut masih berkuatkuasa.


Akan tetapi, untuk memastikan tiada lagi rakyat Malaysia seperti Wan Ji dijenayahkan kerana Akta Hasutan yang zalim dan lapuk itu, maka saya menggesa sekali lagi supaya kerajaan persekutuan mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta tersebut.


* Syahredzan Johan adalah peguam dan setiausaha politik wakil rakyat Iskandar Puteri.


** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.


Norlida Ishak Shop