Expired : 18.06.18

Wan Saiful rasa tergugat agenda PAS-UMNO


BANGI, 29 Jamadilawal 1440H, Isnin – Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kebimbangan disuarakan Wan Saiful Wan Jan berhubung agenda PAS dan UMNO hanya menggambarkan rasa tergugatnya terhadap masa depan Pakatan Harapan (PH).


Ahmad Fadhli berkata, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebenarnya bimbang terhadap kemampuan PH mengekalkan tampuk kuasa pemerintahan yang diterajui ketika ini.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pemikir strategik muda itu yang mendakwa kononnya PAS dan UMNO membawa agenda berbahaya kepada negara ini kerana memainkan sentimen agama Islam dan perkauman Melayu, serta menafikan suara bangsa lain.


Ahmad Fadhli menegaskan, agenda PAS dan UMNO tidak berbahaya kepada negara, tetapi berbahaya untuk PH.


“Kerana sekiranya undi PAS dan UMNO digabungkan pada PRU lepas, sudah pasti PH tidak menang di sekurang-kurangnya 29 kerusi. 
 
“Apatah lagi dalam PRU15 nanti terdapat banyak pihak tidak puas hati dengan prestasi PH jadi saya nampak kebimbangan Wan Saiful ini lebih kepada kebimbangan terhadap masa depan PH.
 
“Saya nasihat beliau tumpu perhatiannya membina kekuatan dalaman PH itu sendiri. Nama Wan Saiful sendiri dibuang jauh oleh kepimpinan Bersatu di Perlis. Jadi bagaimana membina kekuatan di negeri itu? Jadi lebih baik jaga parti sendiri dahulu,” katanya.
 
Memetik laporan Harakahdaily, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyangkal tuduhan Wan Saiful dan menegaskan bahawa agenda bersama PAS dan UMNO itu hanya usaha untuk mempertahankan hak yang sedang digugat.
 
Katanya, seluruh rakyat tahu dan sedar PH yang dikuasai DAP telah bersikap melampau dengan menyentuh dan menggugat banyak kepentingan berkaitan Melayu, Bumiputera dan Islam.
 
“Hanya pimpinan PH yang mendiamkan diri dan membutakan mata terhadap sikap itu di mana sebenarnya ancaman terhadap keharmonian sedia ada, sedangkan hal tersebut tidak terjadi sebelum ini,” katanya.
 
Malah, beliau berkata, PH terutamanya DAP tidak senang melihat PAS dan UMNO membawa agenda umat secara bersama yang menjadi satu kekuatan, sekali gus menyebabkan rasa terancam.
 
“DAP juga melihat kebersamaan agenda itu akan menggagalkan banyak motif DAP dan tindakannya memecah belahkan kesatuan umat majoriti negara ini yang disaksikan dari sikap parti itu.
 
“Sebaliknya DAP lebih kuat menzahirkan sikap membela satu kaum sahaja dan ketika sama menyangkal hak kaum lain, serta membangkitkan sentimen atau provokasi berkaitan agama dan kaum,” katanya.


The post Wan Saiful rasa tergugat agenda PAS-UMNO appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop