Expired : 18.06.18

‘Wanita palsu’, menyesatkan tak layak diangkat memimpin


Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 10 Rejab 1440H, Ahad – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) memandang serius gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin agresif, tatkala tiada undang-undang dan sekatan dikenakan terhadap mereka.


Ketua Wanita Isma, Ustazah Suriani Sudi berkata, ideologi dan sikap golongan berkenaan sudah mencalar imej dan maruah wanita, apatah lagi mereka menyalahi fitrah manusia.


Menyifatkan golongan itu sebagai ‘wanita palsu’, beliau kesal kerana mereka berhabis-habisan melaungkan kononnya merekalah pejuang hak wanita sehingga ada pihak yang mengiktiraf mereka.


“Jika mereka pejuang wanita sebenar, mereka sepatutnya memelihara maruah wanita. Adakah dengan mendedahkan anggota badan itu dapat memelihara kedudukan wanita?


“Adakah menerima wanita transgender ke dalam kelompok wanita itu juga memelihara maruah wanita,” katanya kepada Ismaweb, ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Isma ke-16 di Putrajaya, semalam.


Ustazah Suriani yang juga pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, Allah sudah meletakkan wanita ditempat yang sangat mulia bersesuaian dengan kejadian dan fitrah wanita itu sendiri.


“Maka tidak perlu wujud wanita transgender, wanita palsu atau sebagainya yang menjadi perosak masyarakat sehingga ada yang menyeru kepada kehidupan menyesatkan. Cukup-cukuplah, berbalik kepada asal kejadian manusia. Jangan melangkaui kuasa Allah,” katanya.


Beliau yang baru dilantik memegang posisi Ketua Wanita Isma menggantikan Dr Norsaleha Mohd Salleh yang diangkat sebagai Naib Presiden, menaruh harapan tinggi untuk terus mempertahankan golongan dan hak wanita Islam.


Katanya, Islam tidak pernah melarang wanita beraktiviti dan bersosial, tetapi hendaklah dalam kerangka yang telah ditetapkan.


“Wanita juga mulia apabila kita meletakkan ia pada kejadian fitrahnya yang sebenar,” katanya.


The post ‘Wanita palsu’, menyesatkan tak layak diangkat memimpin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop