Expired : 18.06.18

Wanita UMNO Kutuk Serangan Keganasan, Tindakan Tidak Berperikemanusiaan



KUALA LUMPUR, 16 Mac – Wanita UMNO Malaysia hari ini mengutuk serangan keganasan ke atas jemaah Masjid Alnoor dan Masjid Linwood, di Christchurch, New Zealand yang dilaporkan telah mengakibatkan 40 orang terbunuh manakala 20 orang lagi cedera.


Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata Wanita UMNO sangat berdukacita dengan insiden itu, apatah lagi dua daripada mangsa yang cedera adalah merupakan rakyat Malaysia.


“Perbuatan serangan itu jelas tidak berperikemanusiaan dan tidak bersesuaian dengan prinsip-prinsip agama Islam, yang penuh rahmat dan kasih sayang sesama umat bahkan agama lain juga.


“Takziah kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang sedang bersedih dan terkesan dengan insiden keganasan itu. Wanita UMNO juga mendoakan semoga mangsa-mangsa yang cedera segera sembuh,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalaui laman rasmi Facebook Wanita UMNO Malaysia.


Pada masa yang sama, katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Wanita UMNO berharap agar pihak berkuasa New Zealand mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi rakyat Malaysia yang berada di sana.


“Bagi menghormati perasaan keluarga mangsa-mangsa dalam peristiwa paling buruk bagi sejarah New Zealand, Wanita UMNO menyeru agar rakyat Malaysia tidak menyebarkan video keganasan dua serangan tembakan rambang di dua masjid itu.


“Video yang dirakam oleh pelaku merupakan antara motif untuk mendapatkan perhatian melalui sosial media dan menyebarkan kebencian ke atas umat dan agama Islam,” katanya lagi. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop