Expired : 18.06.18

Warga Malaysia pertama dijangkiti COVID-19 sembuh, dibenar pulang

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Warga Malaysia pertama dijangkiti COVID-19 sebelum ini, dibenarkan pulang hari ini (Isnin), selepas sembuh sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia menjadikan angka terbaru yang berjaya sembuh setakat ini, sembilan orang.


Katanya, individu berumur 41 tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor, dan pesakit telah menjalani ujian pengesanan ulangan COVID-19 serta didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut, sebelum dibenarkan pulang.


“Jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dan hanya 13 kes yang masih dirawat di wad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini


Dr Dzulkefly memaklumkan daripada keseluruhan 22 kes yang dilaporkan, 12 kes dalam kalangan kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat, dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.


Dr Dzulkefly dalam kenyataan itu turut memaklumkan telah membuat telesidang bersama dengan Menteri Kesihatan Kemboja, Prof Mam Bunheng petang ini bagi memperkukuhkan kerjasama di antara dua negara, dalam usaha menangani kejadian jangkitan COVID-19 ini.


Katanya, pada telesidang itu, Dr Dzulkefly telah maklumkan kepada Mam Bunheng bahawa pesakit warga Amerika Syarikat, menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik.


“Saya turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan COVID-19 ulangan telah dijalankan mengikut tatacara yang telah ditetapkan, dan didapati masih positif. Saya dan Menteri Kesihatan Kemboja berharap keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik.


“Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama secara rapat dengan semua negara yang terlibat dan pihak WHO, dalam pengurusan kes COVID-19 dan penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat,” katanya. – Bernama


The post Warga Malaysia pertama dijangkiti COVID-19 sembuh, dibenar pulang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.