Expired : 18.06.18

Waspada guna aplikasi telesidang, elak bincang isu sulit

BANGI, 20 Syaaban 1441H, Selasa – Pengguna aplikasi telesidang atas talian diingatkan supaya bijak mengurus risiko keselamatan dengan mengambil kira had penggunaannya ketika membincangkan hal-hal bersifat sulit dan sensitif.


Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab tidak menafikan bahawa setiap perisian atau aplikasi teknologi maklumat termasuklah telesidang, mempunyai kelemahan dan ralat kerana pembangunnya tiada kepakaran di bidang keselamatan.


Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap pengguna untuk menguruskan risiko berkenaan dengan mengamalkan langkah terbaik supaya maklumat sulit tidak diketahui pihak luar, katanya.


“Namun, sebagai sebuah syarikat yang membangunkan aplikasi dan mempunyai kredibiliti, mereka akan memperbaiki atau kemaskini perisian tersebut untuk memastikan segala kelemahan atau ralat diperbaiki serta ditambah baik.


“Secara umum, apa juga aplikasi atau perisian yang digunakan berpotensi mempunyai risiko keselamatan. Tetapi, penyedia aplikasi ini selalunya akan mengemaskini sehingga ia boleh diguna pakai,” katanya dalam temubual Pertiwi Eksklusif, hari ini.


Bagaimanapun, Dr Amirudin menasihatkan pengguna supaya sentiasa menjaga aspek keselamatan dan privasi dengan mengelakkan aplikasi telesidang diguna bagi perbincangan yang bersifat sulit atau sensitif.


Beliau berkata, tiada masalah jika aplikasi itu digunakan untuk tujuan tidak penting seperti urusan pembelajaran atau berhubung dengan ahli keluarga.


“Tetapi, jika contohnya perbincangan di dalam aplikasi itu akan menyentuh mengenai rahsia negara, maka ia tidak digalakkan. Seperti mana yang saya sebut, bagaimana cara kita nak mengurus risikonya. Jika tiada perkara sulit dan sensitif, tiada apa yang dibimbangkan.


“Jika ia membabitkan rahsia kerajaan atau rahsia rasmi syarikat swasta, sudah pasti kita tidak mahu ianya diketahui oleh pihak luar,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menyarankan pengguna aplikasi berkenaan supaya mengambil langkah waspada antaranya memastikan perisian digunakan untuk perbincangan adalah yang terkini.


“Jika mengadakan telesidang atas talian, pengguna perlu memastikan peserta perbincangan itu adalah dalam kalangan yang dibenarkan sahaja. Jika ada lapan orang, jadi pastikan hanya jumlah itu saja.


“Selain itu, pengguna juga perlu memastikan sesi persidangan itu dilindungi dengan kata laluan yang kukuh,” katanya.


The post Waspada guna aplikasi telesidang, elak bincang isu sulit appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.