Expired : 18.06.18

WKB2030 lihat jurang ekonomi secara menyeluruh: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 6 Safar 1441H, Sabtu – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) melihat masalah jurang ekonomi dari sudut yang lebih luas, iaitu merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan, berbeza dengan dasar ekonomi sebelum ini yang kebanyakannya melihat jurang ekonomi dari sudut kaum.


Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi pendekatan yang lebih holistik itu, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan dapat mengecapi nikmat kemakmuran apabila segala jurang ekonomi yang wujud di negara ini dapat dirapatkan.


“Prinsip asasnya adalah jelas, iaitu mana-mana kumpulan masyarakat yang terpinggir akan dibantu oleh kerajaan…Ini termasuk golongan B40 yang mana lebih 70 peratus daripadanya terdiri daripada Bumiputera.


“Strategi dan inisiatif khusus akan dilaksanakan di bawah wawasan baharu ini untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 serta menyediakan pelbagai sokongan untuk mereka meningkatkan keupayaan diri,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada pelancaran WKB2030 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.


Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ini termasuklah pembangunan kemahiran dan profesionalisme, penyertaan dalam rantaian bekalan dan penciptaan kekayaan.


“Maka Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang bakal menerima manfaat paling utama.


“Malah keberhasilan Bumiputera secara keseluruhannya merupakan antara intipati penting wawasan ini,” katanya.


Muhyiddin berkata, namun WKB2030 tidak meminggirkan kaum lain yang mana 30 peratus daripada golongan B40 adalah terdiri daripada bukan Bumiputera.


Beliau berkata, kesemua mereka ini akan turut menerima manfaat yang besar daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi.


“Malaysia memerlukan satu halatuju baharu ekonomi untuk melonjakkan pencapaian ekonomi negara dan memastikan hasil kekayaan dan kemakmuran yang dijana oleh negara kita dinikmati secara adil, saksama dan inklusif oleh seluruh rakyat.


“Usaha secara berterusan dan bersungguh-bersungguh perlu dilaksanakan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, membangunkan bidang ekonomi baharu yang dapat menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dan merapatkan jurang ekonomi antara kelas pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.


Beliau berkata, walaupun dasar ekonomi sebelum ini telah menunjukkan kejayaan, masih ada kelemahan tertentu termasuk masalah ketirisan dan kesukaran dalam pelaksanaan yang menyebabkan sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya. -Bernama


The post WKB2030 lihat jurang ekonomi secara menyeluruh: Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop