Expired : 18.06.18

"Yang Penting Identiti Filem Saya Tak Lari" - Mamat Khalid




Asraf Aided



Hiburan



Filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid, Manap Karaoke telah mendapat sambutan hangat oleh para penonton sejak mula ditayangkan pada 7 Mei lalu menerusi Astro First, saluran 480.

Memandangkan filem ini mengambil masa tiga tahun untuk ditayangkan, Gempak telah mendapatkan penjelasan daripada Mamat Khalid sendiri mengenai sebab dia berbuat demikian.

"Produksi kami adalah secara persendirian dan bukanlah satu produksi yang besar, jadi banyak proses yang telah dibuat dan sudah tentu memakan masa.

"Pada masa yang sama juga, banyak filem lain yang saya perlu keluarkan terlebih dahulu seperti Hantu Kak Limah, Rock 4 dan sebagainya.

"Sebenarnya, ada lagi filem-filem saya yang lain mengambil masa bertahun untuk ditayangkan kerana saya selesa dengan cara itu," kata Mamat kepada Gempak.

Tambah Mamat, fokus utamanya adalah untuk sentiasa menjaga identiti karyanya dalam setiap filem yang dihasilkan.

"Yang penting, identiti filem saya tidak lari, bila orang ramai tonton Manap Karaoke, mereka tahu itu filem arahan saya.

"Bagi saya, sesuatu filem itu tidak boleh terlalu cepat ditayangkan selepas siap penggambaran kerana banyak proses yang harus dilakukan untuk mendapatkan hasil terbaik," katanya lagi.

Bagi anda yang masih belum menonton Manap Karaoke, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.

Namun, perjalanan Manap tidak semudah yang disangka kerana pelbagai cabaran dan dugaan akan dihadapinya.

Semestinya banyak kisah lucu menanti anda dalam filem ini.

Manap Karaoke menampilkan barisan pelakon hebat seperti Joey Daud, Ropie, Pekin Ibrahim, Mona Allen dan ramai lagi. Jangan lupa untuk mendapatkannya di Astro First, saluran 480 sekarang!