Expired : 18.06.18

Yayasan Ikhlas jayakan ‘sunathon’


BANGI, 25 Rabiulawal 1440H, Isnin – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan Peduli dan Prihatin, telah bergerak ke empat kawasan pedalaman di Sarawak bagi mengadakan program Sunathon siri ketiga pada 23 November sehingga 30 November lalu.


Pegawai Yayasan Ikhlas, Syafiq Syahmi Sazali berkata, program ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit dan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) yang telah menjadi tenaga kerja ketika projek Sunathon.


Beliau berkata, antara kawasan pedalaman yang dikunjungi Yayasan Ikhlas ialah Pekan Kapit, Pekan Song, Pekan Belaga dan Kampung Sungai Asap.


“Peserta sunathon yang telah diselesaikan di empat kawasan pedalaman ini seramai 215 orang peserta. Kita sebenarnya menyasarkan peserta Sunathon seramai 400 orang, tetapi peserta yang telah kita khatankan untuk tahun ini hanya seramai 215 orang. Yang hadir sebenarnya lebih lagi, tetapi ada beberapa kes yang terpaksa kita tolak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Syafiq berkata, selain daripada program berkhatan, terdapat juga program pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, program komuniti masyarakat dan pemberian sumbangan di rumah panjang.


Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Hj Kamaruddin Kassim berkata, program yang dianjurkan ini adalah sangat diperlukan kerana majoriti penduduk pedalaman Sarawak tidak mempunyai akses yang mudah untuk ke klinik atau hospital berdekatan.


“Contohnya di Belaga, klinik di sana tak pernah buat khidmat berkhatan. Kalau ada yang nak bersunat, perlu ke Bintulu yang mengambil masa 6 jam perjalanan melalui jalan-jalan hutan,” katanya.


Manakala, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli pula berkata, program Sunathon ini membantu masyarakat kawasan pedalaman dengan mengelakkan mereka daripada mengalami keradangan, penyakit berjangkit akibat kekotoran yang melekat di bawah kulit.


Pada masa sama, Syafiq berkata, Yayasan Ikhlas turut mengambil peluang menziarahi beberapa rumah panjang di Kapit dan Belaga, bagi menyampaikan sumbangan berupa barangan dan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.


Yayasan Ikhlas juga merancang untuk memfokuskan misi Projek Borneo yang mengutamakan Sabah dan Sarawak dari sudut pelbagai bantuan pada setiap masa.


Buat masa sekarang, bantuan yang dijalankan adalah Bantuan Sekolah, Bantuan Ramadhan, Ibadah Korban dan Misi Bantuan Perubatan di kawasan pedalaman.


Yayasan Ikhlas mempelawa sukarelawan dan rakan korporat bagi menjayakan Projek Borneo ini. Bagi yang berminat, boleh menghubungi Pejabat Yayasan Ikhlas di talian 03 8926 5954.



The post Yayasan Ikhlas jayakan ‘sunathon’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop