Expired : 18.06.18

Yew Yin usah jadi kacang lupakan kulit


BANGI, 14 Zulhijjah 1440H, Khamis Kenyataan Pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin memperlekeh penjawat awam dan mengesyorkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang Felda disifatkan sangat biadab. 


Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim kesal kerana masih ada warganegara Malaysia yang memperkecilkan peranan pasukan keselamatan yang menjadi tonggak kemerdekaan, keselamatan dan kemakmuran negara.


“Perkataan dikeluarkan ahli perniagaan yang menjadi pembiaya kepada Pakatan Harapan kononnya tentera kita hanya ‘tidur dan makan’, ada yang tak ‘pernah tembak sebutir peluru pun kecuali di padang sasar’ mempunyai nada sangat biadab dan memperlekehkan peranan tentera.


“Jangan jadi lupa diri seperti kacang lupakan kulit. Keringat pasukan keselamatan yang berkorban sama ada di darat, laut dan udara menyumbang kepada keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Amzad mengingatkan Yew Yin bahawa keselamatan dan kemakmuran negara yang membolehkan dia berniaga dan menjadi kaya raya.


“Tanpa adanya keselamatan negara, anda mungkin sedang berlindung di dalam longkang dan khuatirkan keselamatan nyawa dan keluarga jauh sekali mempunyai ruang untuk mempunyai empayar peniagaan dan menjadi jutawan,” katanya.


Terdahulu, Yew Yin menerusi satu tulisan di laman blognya bertajuk ‘Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ antara lain berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur.


Malah, katanya, ramai di antara mereka juga tidak pernah menembak dan mencadangkan supaya anggota tentera dihantar bertugas di ladang Felda.


Kenyataan itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).


The post Yew Yin usah jadi kacang lupakan kulit appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop