Expired : 18.06.18

Zahid Yakin UMNO-PAS Ada Kelebihan Yang Boleh Saling Dipelajari

KOTA BHARU, 20 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi penuh yakin dan percaya parti itu serta PAS masing-masing mempunyai kelebihan yang boleh dipelajari antara satu dengan yang lain dalam usaha menterjemahkan impak yang cukup baik.


Menurut beliau, sememangnya diakui PAS yang menjadi pembangkang selama 60 tahun mempunyai daya tahan yang luar biasa manakala UMNO pula berpengalaman sebagai sebuah kerajaan selama 60 tahun mentadbir negara.



“Kita akui bahawa PAS menjadi pembangkang di Parlimen lebih daripada 60 tahun dan walaupun ada ketikanya mereka menjadi anggota komponen BN tetapi mereka jelas mempunyai daya tahan yang luar biasa sedangkan UMNO dan BN tidak pernah ada pengalaman di peringkat nasional sebagai pembangkang.


“Maka daya tahan PAS harus dipelajari bukan bermakna kita tidak mempunyai daya tahan.


“Apa yang saya maksudkan ialah daya tahan PAS tanpa sumber kewangan, tanpa kuasa, tanpa adanya infratsruktr politik yang dipegang oleh mereka, mereka masih boleh mempunyai ketahanan sehingga sekarang diperingkat nasional, peringkat negeri dan juga kawasan mereka.


“Yang penting ialah ibrah atau pengajaran daripada kekalahan ini mengajar kedua-dua parti ini saling mempelajari antara satu dengan yang lain bagaimana untuk membina kekuatan dan bukannya melihat aspek-aspek perbezaan atau kelemahan daripada mana-mana parti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra di kediaman Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di Bukit Marak, di sini, malam tadi.


Ahmad Zahid seterusnya berkata proses pembelajaran timbal balas harus diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dan apa yang penting adalah kebersamaan yang membuahkan hasil.


“Saya juga menyebutkan PAS juga harus belajar pengalaman daripada BN dan UMNO sebagai sebuah kerajaan yang telah membuktikan selama lebih 60 yahun untuk mentadbir negara kita. Tidak mustahil jika perkara-perkara baik yang pernah kita lakukan dahulu dipelajari.


“Ertinya kita belajar bukannya melihat kepada kelemahan tetapi belajar melihat kepada kekuatan kedua-dua belah pihak. Jika kita dapat menterjemahkannya dengan baik pastinya natijah yang yang akan kita perolehi itu akan memberi keberhasilan yang baik,” tegasnya. –MediaUMNO


Norlida Ishak Shop