Expired : 18.06.18

Zionis bunuh tentera Hamas


PALESTIN, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Seorang anggota sayap tentera Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dibunuh askar rejim pengganas Israel berhampiran pagar pemisah di utara Semenanjng Gaza, pagi semalam.


Jurucakap pergerakan itu berkata, Mahmoud al-Adham sebelum itu ditugaskan untuk menghalang penunjuk perasaan Palestin daripada menceroboh pagar pemisah Semenanjung Gaza-Israel.


Mahmoud meninggal dunia beberapa jam ketika menerima rawatan di Hospital Indonesia di Beit Lahiya.


Askar rejim Zionis mengesahkan kejadian itu dalam laman web mereka dan berkata, siasatan awal mendapati anggota Hamas itu menuju ke kawasan berkenaan selepas dua pemuda Palestin menghampiri pagar pemisah.


“Pasukan keselamatan Israel tiba di tempat kejadian dan mengenal pasti anggota Hamas itu sebagai pengganas. Mereka melepaskan tembakan yang berpunca daripada salah faham. Kejadian itu akan disiasat,” kata rejim berkenaan.


Sementara itu, jurucakap Hamas berkata, kematian anggotanya tidak akan dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya rejim Zionis bakal menanggung akibat daripada tindakan jenayah itu.


Sayap bersenjata Hamas mempunyai pusat pemantauan berhampiran pagar pemisah di Semenanjung Gaza.


Sekurang-kurangnya 295 warga Palestin dibunuh oleh askar rejim pengganas Israel di Semenanjung Gaza sejak tunjuk perasaan ‘The Great March of Return’ anjuran Hamas bermula sejak Mac tahun lalu.


Kebanyakan yang maut itu ditembak ketika tunjuk perasaan, manakala yang lain akibat serangan udara dan kereta kebal rejim Zionis. Dalam tempoh itu, enam warga Israel terbunuh.


Semenanjung Gaza dikepung sejak 2007 menyebabkan wilayah kecil itu berdepan pelbagai masalah ekonomi dan kekurangan bekalan utama, termasuk ubat-ubatan dan elektrik.


Sementara itu, dua warga Palestin ditangkap ketika cuba menghalang askar rejim Zionis merobohkan monumen memperingati seorang pemuda yang maut dibunuh di Baitulmaqdis Timur.


Lima lagi penduduk perkampungan Issawiya cedera ketika menghalang askar rejim – yang diarahkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu – daripada memusnahkan monumen memperingati Mohammad Samir Obeid, 20 tahun, yang ditembak mati dua minggu lalu.


Askar rejim penceroboh menangkap Mus’ab Muhaisen dan Mohammed Abu Sabeeh, selepas memukul dan mencederakan kedua-duanya.


Lima lagi penduduk Palestin cedera akibat disembur dengan penyembur lada, bom bunyi dan bom tangan. – Agensi