Expired : 18.06.18

Zuraida sertai koroner lawat tapak rusuhan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyertai rombongan Mahkamah Koroner melawat lokasi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pagi ini.


Zuraida tiba pada kira-kira pukul 10 pagi dan diiringi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman.


Hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai koroner bergerak menuju ke kuil dari Kompleks Mahkamah Shah Alam di kira-kira pukul 10.30 pagi.


Selain melawat lokasi kejadian, mereka akan melihat jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat dalam insiden tersebut, lapor Utusan Online.


Timbalan Pendakwa Raya selaku Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah turut dijangka menyertai lawatan ini.


Selain itu, pihak-pihak berkepentingan termasuk barisan peguam keluarga Muhammad Adib Mohd. Kasim, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JPBM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) dan Majlis Peguam dijangka turut serta.


Prosiding inkues ini diadakan bagi mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib, 24, yang mati selepas parah diserang dan dipukul sekumpulan perusuh pada 27 November tahun lalu.


Norlida Ishak Shop